pks

Sasar 2,000 rakan niaga MRM Perfumes

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Pengeluar penyegar udara milik penuh Bumiputera, MRM Resources & Supplies menyasar jalinan kerjasama dengan sekurang-kurangnya 2,000 rakan niaga dalam tempoh dua tahun lagi, disokong pelan pemasaran lebih agresif termasuk menerusi platform dalam talian dan e-dagang.

Pemiliknya, Muhd Ridzamuaz Ridzuddin berkata, sejak diperkenalkan pada 2014, penyegar udara di bawah jenama MRM Perfumes itu kini dijual oleh 1,000 rakan niaga di seluruh negara antaranya kedai runcit, farmasi, kedai buku dan alat tulis, kedai aksesori kenderaan, pusat cuci kereta dan stesen minyak.

Malah, katanya, produk terbabit turut dipasarkan melalui ejen dengan modal permulaan ejen mini ditawarkan pada kadar serendah RM150.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara pada Mac tahun lalu, kaedah pemasaran MRM Perfumes tertumpu kepada offline menerusi kerjasama dengan premis perniagaan seperti kedai runcit dan stesen minyak.

"Susulan sekatan perjalanan yang menjejaskan jualan serta pergerakan untuk membekalkan stok, kami mula meneroka kaedah jualan secara dalam talian bermula Ogos tahun lalu dan ternyata impaknya cukup positif.

"Angka jualan kini, malah lebih baik berbanding sebelum PKP dan kami berharap trend peningkatan ini berkekalan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

"Pada masa sama, MRM Perfumes juga kini di peringkat akhir perbincangan dengan rakan niaga di Indonesia dalam usaha memasarkan penyegar udara kami di sana secepat mungkin," katanya.

Mengulas lanjut, jelas Muhd Ridzamuaz, perancangan seterusnya untuk menghasilkan minyak wangi eau de parfum (edp) dan minyak pati bagi menambah variasi produk MRM Perfumes.

"Jika kebiasaan perniagaan penyegar udara turut dikaitkan dengan wangian jenis gel atau semburan automatik, kami belum bercadang untuk meneroka produk jenis ini memandangkan kosnya lebih tinggi dan kuasa membeli pengguna ketika ini juga tidak begitu kuat.

"Oleh itu, fokus kami adalah untuk menghasilkan edp dan minyak pati di mana kami kini di peringkat mencari pembekal bersesuaian untuk merealisasikan hasrat ini yang mungkin memakan masa setahun dua lagi," katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 9:25am
d