pks

Breena Beauty sedia francais

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Petaling Jaya: Breena Empire Sdn Bhd pengeluar produk Breena Beauty dalam usaha mentransformasi perniagaan ke arah francais.

Ia bagi memberi peluang kepada pengguna untuk menjual produk di bawah jenama berkenaan selain meluaskan capaian produk ke pasaran lebih besar.

Pengasas Breena Empire Sdn Bhd, Nur Sabrina Tajudin berkata, pihaknya menyertai Program Business in Transformation (BIT) kendalian Perbadanan Nasional Berhad (PNS) iaitu program transformasi usahawan kecil untuk menjadi lebih berdaya saing dan sistematik dalam usaha membangunkan perniagaan francais.

"Melalui program ini, kami percaya PNS dapat membantu kami berkaitan proses untuk memulakan francais. Ia secara tidak langsung membuktikan perniagaan kosmetik juga berupaya untuk ditawarkan secara francais," katanya.

Menurutnya, antara cabaran bagi produk tempatan adalah isu berkaitan harga kerana ramai pengguna sering mempersoalkan mengenai harga yang sedikit mahal.

"Memang ada yang bertanya kenapa produk tempatan mahal. Ini kerana kos untuk mengeluarkan produk adalah tinggi dan ia hanya dapat dikurangkan sekiranya pengeluaran dibuat secara besar-besaran.

"Jadi, apa yang kami lakukan adalah pelbagaikan saluran pengedaran supaya kita dapat keluarkan produk dalam kuantiti tinggi namun masih boleh ditawarkan pada harga mampu milik," katanya kepada Bisnes Metro.

Breena Beauty dikenali dengan rekaan span alat solek selain turut menghasilkan rekaan sendiri untuk beberapa peralatan solekan.

Setakat ini, pihaknya berupaya mencatatkan jualan mencecah RM50,000 sebulan dan jumlah jualan meningkat khususnya pada musim lebaran dan hujung tahun.

Sementara itu, pengasas bersama Breena Beauty, Mohd Taufiq Abdul Nasir berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan insiatif untuk manfaat komuniti.

"Antara sebab kami memulakan perniagaan adalah untuk memberi pulangan kepada komuniti. Antara inisiatif yang kami pernah lakukan adalah jualan beg misteri pada harga RM5 dan sebanyak 200 beg berjaya dijual. Hasil jualan diserahkan kepada Majlis Kanser Negara," katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2021 @ 11:43am
d