pks

Anna Legacy sasar jualan RM12 juta

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala lumpur: Anna Legacy Academy berjaya mencapai sasaran jualan lebih RM6 juta pada tahun ini dengan jumlah jualan lebih 30,000 unit produk sebulan.

Malah, sasaran jualan ini juga dijangka meningkat sehingga dua kali ganda.

Pengasas Anna Legacy, Jeffry Zain Md Zamsari berkata, pihaknya meletakkan sasaran jualan baharu sebanyak RM12 juta berikutan penambahan produk baru pada tahun hadapan.

"Tahun ini kami mampu menjana sehingga enam angka sebulan dan tidak mustahil mencapai RM1 juta dalam masa sebulan pada tahun 2022.

"Kejayaan ini adalah berkat daripada dorongan keluarga serta usaha untuk terus bangkit daripada sejarah hitam yang pernah menimpa saya dan isteri sebelum ini.

"Kehilangan anak pertama amat sukar bagi kami, namun, kami tekad untuk terus bangun dan meneruskan kehidupan sebagai usahawan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, jumlah penjual semula di bawah kendalian Anna Legacy turut meningkat kepada 600 individu, berbanding 20 ketika awal penubuhannya tahun lalu.

Anna Legacy kini mempunyai beberapa barisan produk antaranya produk makanan tambahan herba bagi kesegaran mata, Produk Ains, Hayla Heejab, serta produk kecantikan, Roseglow.

Selain daripada kejayaannya dan isteri, dia juga bersyukur kerana dapat membantu individu yang kehilangan pekerjaan untuk menjana pendapatan bersama Anna Legacy.

Jeffry Zain berkata, hampir 60 peratus daripada usahawan yang berdaftar bersama mereka berjaya menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan.

"Di Anna Legacy Academy, kami menawarkan pakej serendah RM99 bagi mereka yang ingin mendapatkan bimbingan perniagaan.

"Melalui cara ini, kami akan menghantar produk melalui pos serta mengajar mereka cara untuk mendekati pelanggan," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2021 @ 7:01am
d