pks

Aiskrim Cedoq lapan & 12 perisa

Oleh BERNAMA

Jasin: Permintaan tinggi dalam industri katering aiskrim bagi pelbagai majlis keraian khususnya perkahwinan mendorong Fatimah Shafiee untuk menceburi perniagaan itu secara kecil-kecilan di rumahnya di Batu 19, Chinchin, di sini pada Oktober 2018.

Siswazah Ijazah Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandaraya Melaka berusia 30 tahun itu berkata, walaupun pada mulanya dia tidak mempunyai asas atau ilmu untuk membuat aiskrim dan berniaga, namun ia bukan halangan untuk memulakan perniagaan.

Anak kelahiran Gopeng, Perak itu berkata, dia mengikuti pelbagai kelas membuat aiskrim menggunakan modal sendiri selain turut mengikuti kursus Pembangunan Reka Bentuk anjuran Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia dan Pusat Usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Negeri Melaka.

"Suami saya, Azam Iskandar Muhamad, 31, mempunyai studio gambar dan sering terbabit dalam majlis perkahwinan dan dari situ saya mendapat maklumat mengenai permintaan yang tinggi terhadap katering aiskrim, tetapi pada masa itu saya tiada asas berniaga," katanya di kafe aiskrimnya di Bazar Mara di pekan Bemban, di sini.

Berkongsi pengalamannya, Fatimah berkata, pada permulaannya, dia dan suami berulang-alik ke agensi dan jabatan kerajaan untuk melihat kursus berkaitan yang boleh diikuti untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran berniaga.

Katanya, selepas lebih dua tahun bergerak secara kecil-kecilan dari rumah, impiannya untuk mengembangkan perniagaan aiskrim tercapai apabila berjaya membuka kafe aiskrim menggunakan jenama 'Cedoq' yang beroperasi setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 9 malam berbekalkan modal RM10,000 pada Disember 2020.

Fatimah berkata, perniagaan katering dan kafe aiskrim yang diusahakan bersama suaminya kini mempunyai pelanggan tetap dan sering menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan hari jadi terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Menurutnya, bagi perkhidmatan katering aiskrim, terdapat 12 perisa ditawarkan kepada pelanggan antaranya coklat, vanila, strawberi, jagung, keladi, kopi, red velvet, mocha dan mangga, selain terdapat tiga pakej yang disediakan bermula pada harga RM250 hingga RM1,000.

Ibu kepada dua anak perempuan berusia satu dan lima tahun itu berkata, di kafenya pula, hanya lapan perisa dijual antaranya salted caramel, mint oreo, Kopi 434 dan cookies and cream bermula pada harga RM5 hingga RM10.

Katanya, proses pembuatan aiskrim dilakukan setiap hari menggunakan sebuah mesin terpakai yang dibeli pada harga RM1,500 dan sebanyak 13 kilogram aiskrim diproses setiap untuk dijual di kafenya selain perkhidmatan katering.

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 7:05am
d