pks

Jaminan harga emas rendah

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Shah Alam: Smart Bullion Sdn Bhd, pengendali Kedai Emas Armel optimis membuka cawangan di setiap negeri seluruh Malaysia menjelang tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya, Zahardi Arman Zakaria berkata, dalam masa terdekat pihaknya merancang membuka cawangan baharu di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Wangsa Maju.

"Kami buka lebih banyak cawangan secara berperingkat memandangkan sekarang orang ramai hanya boleh dapatkan barang kemas mereka di Shah Alam.

"Kami menawarkan jaminan harga paling rendah di pasaran tanpa upah supaya semua lapisan masyarakat mampu memiliki barang kemas.

"Kami hadir di pasaran bukan untuk bersaing, tetapi visi kami membantu rakyat Malaysia memiliki emas dengan harga terendah terutama golongan B40," katanya.

Menurutnya, syarikat menyasarkan jualan 100 kilogram emas setiap bulan berbanding 30 kilogram setakat ini disokong dengan pembukaan cawangan baru.

Zahardi berkata, bagi jangka panjang pihaknya merancang menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Indonesia dan Singapura dalam tempoh dua tahun lagi.

"Stok bekalan emas sentiasa ada kerana kami ada kilang emas di Setia Alam.

"Kami yakin dapat memenuhi pasaran tempatan dan luar negara, malah menawarkan pembelian secara dalam talian," katanya.

Usahawan PKS dijemput menyertai komuniti sokongan perniagaan dan mendaftar sebagai AhliUSB di www.omniausb.com.my atau hubungi 013-7172858.

Disiarkan pada: February 25, 2022 @ 7:01am
d