pks

Dari derita Chow Kit bergelar tauke pekasam

Oleh BERNAMA

Taiping: Kesengsaraan hidup di Lorong Chow Kit, Kuala Lumpur hampir 10 tahun lepas membuka mata seorang wanita untuk tidak berpaling lagi dan terus maju ke hadapan demi kelangsungan hidup yang lebih baik.

Sharifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman, 37, dahulunya bekas gelandangan yang hanya mengambil upah membasuh pinggan di kedai makan, kini ikon Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berjaya membawa perniagaan ikan pekasam hingga ke pasaran luar negara.

"Ketika itu, saya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur kononnya bagi mendapatkan pendapatan yang lebih lumayan kepada keluarga di Kamunting.

"Namun nasib tidak menyebelahi, setahun saya merempat di tepi longkang, pernah juga dalam keadaan sarat hamil bersama bekas suami, berbekalkan harapan dan simpati untuk mendapatkan makanan dan minuman harian kami.

"Saya ambil upah bekerja di kedai makan dan kehidupan kami ketika itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sehinggakan perlu menghantar anak di sebuah yayasan sementara saya bekerja," katanya ketika ditemui di kilang pemprosesan pekasamnya, yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah dari Tol Jelapang.

Menurutnya, beliau kembali ke kampung halamannya di Kamunting bermodalkan duit mengambil upah mencuci pinggan, selain ditawarkan bekerja di sebuah hospital swasta di bahagian akaun namun beliau mengambil keputusan untuk berniaga di tepi jalan menjual laksa, bihun sup dan minuman.

"Dalam masa yang sama juga, seminggu sekali saya akan ke Plaza Chow Kit, Kuala Lumpur dengan menaiki bas untuk mendapatkan stok barangan seperti beg, alat solek dan macam-macam lagi untuk dijual di Taiping.

"Apabila kerap ulang-alik menaiki bas bawa barang niaga, saya dipertemukan dengan seorang Sahabat AIM yang juga penjaga tandas berbayar di Stesen Bas Kamunting. Saya kemudian menyertai program ini dan ia mengubah hidup saya sepenuhnya," katanya yang dikenali dengan panggilan mesra Kak Sha.

AIM ditubuh bagi menawarkan skim pembiayaan kredit mikro berpenyeliaan rapi kepada golongan miskin untuk mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang dimiliki sebagai usaha menambah pendapatan keluarga dan ini dimanfaatkan Sharifah Nurul Shahida untuk memulakan perniagaannya.

Menurutnya, permulaan modal RM2,000 daripada AIM digunakan untuk membeli barangan katering, dan perniagaannya mula berkembang sehingga dikenali hingga ke hari ini, malah perniagaan pekasamnya pernah mencecah jualan sehingga dua tan sebulan, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

Beliau berkata, modus operandi kejayaan perniagaannya adalah dengan memanfaatkan penjualan produknya di media sosial seperti Facebook Page dan Tiktok sehingga mampu memiliki agen dan stokis di seluruh negeri.

"Saya tidak risau sekarang kerana saya mempunyai agen dan stokis yang sangat berdedikasi membantu mengubah hidup masing-masing hampir di seluruh negeri, tidak lupa juga stokis saya yang berada di luar negara - di Australia dan Singapura," katanya.

"Tanpa pekerja saya di kilang ini juga, saya tidak mampu menyelesaikannya seorang diri. Dengan lapan orang pekerja di sini, yang berumur lingkungan 17 hingga 45 tahun, saya dapat membahagikan masa untuk perniagaan saya yang lain iaitu restoran dan katering," katanya.

Menurutnya bagi mengisi ilmu di dada, beliau menuntut teknik pembuatan pekasam di serata tempat sehingga ke Lenggong dan Gerik kira-kira dua jam dari lokasi kilangnya dan kini berjaya menghasilkan pelbagai jenis pekasam selain ikan, seperti pekasam telur sotong, pekasam daging dan pekasam perut lembu, sehingga menjadi bualan orang ramai kerana keunikannya.

Disiarkan pada: March 6, 2022 @ 11:56am
d