pks

Labur RM1 juta

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Anggun Medi-Klinik terus mengorak langkah menawarkan perkhidmatan rawatan estetik di luar Lembah Klang menerusi rancangan membuka cawangan baharu di Johor separuh kedua tahun ini.

Pengasasnya, Dr Siti Maria Juwaini berkata, pihaknya akan memperuntukkan pelaburan kira-kira RM1 juta bagi membuka Anggun Medi-Klinik di Johor Bahru termasuk menyediakan peralatan kelengkapan rawatan terkini.

Katanya, permintaan terhadap estetik semakin meningkat berikutan ramai yang mahu mendapatkan rawatan bagi masalah kulit terutama masalah pigmentasi.

"Setakat ini, terdapat tiga rangkaian Anggun Medi-Klinik iaitu di Wangsa Maju dan Shah Alam. Kami bercadang untuk buka satu cawangan baharu di Johor pada Jun ini dan dalam tempoh 10 tahun saya menyasarkan untuk memiliki cawangan di setiap negeri seluruh Malaysia.

"Dengan itu, kami dapat membuka 250 peluang pekerjaan di seluruh negara dalam pasaran estetik ini," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sambutan terhadap perkhidmatan Anggun Medi-Klinik begitu memberangsangkan terutama selepas kelonggaran pergerakan selain menggunakan mesin berteknologi canggih.

Beliau berkata, pihaknya menawarkan rawatan terbaik dan memfokus terhadap masalah tertentu yang dihadapi pelanggan.

"Kami menyediakan rawatan efektif pada harga mampu milik dan rawatan estetik kami dibuat oleh doktor bertauliah.

"Kami menyasarkan jualan RM9 juta tahun ini berbanding RM5 juta tahun lalu termasuk menawarkan rawatan baharu," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2022 @ 6:15am
d