pks

Narinar Group lebar sayap

Putrajaya: Narinar Group Sdn Bhd pengeluar minyak pati aromaterapi tempatan terus melebarkan sayapnya melalui perjanjian persefahaman (MoU) bersama Rangkaian Poliklinik Amal Medik dan Efgee Wellness Sdn Bhd bagi menawarkan perkhidmatan rawatan kesihatan lebih baik dan menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan Narinar Group, Shazren Shah berkata, kerjasama tiga pihak ini bakal membuka satu lembaran baharu dalam industri kesihatan secara integrasi dan memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Katanya, rangkaian Poliklinik Amal Medik yang kini berkembang pesat di sekitar Lembah Klang akan menggunakan Minyak Pati Aromaterapi Narinar di semua kliniknya untuk memberi keselesaan dan ketenangan kepada semua pesakit yang datang mendapatkan rawatan di klinik.

"Di samping itu, pesakit juga boleh dapatkan Minyak Pati Tulen Narinar di rangkaian Poliklinik Amal Medik untuk menyokong proses rawatan mereka sepanjang di rumah dan kerjasama ini juga memberi kelebihan kepada lebih 8,000 pengedar sah Narinar untuk mendapatkan potongan harga istimewa bagi konsultasi doktor atau khatan di semua rangkaian Poliklinik Amal Medik.

"Gabungan kerjasama ini juga dikukuhkan lagi bersama Effgee Wellness, pengeluar minuman botani dengan vitamin C yang menggunakan teknologi Liposomal bagi meningkatkan penyerapan vitamin C dalam badan yang mana minuman ini juga boleh didapati di semua pengedar sah Narinar dan rangkaian Poliklinik Amal Medik," katanya kepada Bisnes Metro.

Shazren berkata, Narinar Group ialah peneraju gaya hidup minyak pati aromaterapi yang halal dan selamat 100 peratus serta dikenali sebagai produk yang diuji secara sains serta diformulasikan oleh juruaromaterapi bertauliah.

Menurutnya, kini di bawah jenama Narinar-Your Everyday Family Essential Oils, pihaknya menawarkan pelbagai pilihan minyak pati tulen yang berkesan kepada pelanggan yang majoritinya dari Malaysia, Brunei dan Singapura.

"Kami menyasarkan untuk menjual lebih 100,000 botol minyak pati aromaterapi tahun ini dengan pembukaan tiga hab operasi baharu Narinar di Selangor, Johor dan Kedah.

"Narinar ketika ini terus memfokus untuk mengukuhkan kedudukan dan meningkatkan pasaran di dalam Malaysia terlebih dahulu, memandangkan kebanyakan pengguna minyak pati aromaterapi adalah dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Namun, dalam tempoh lima tahun dari sekarang, Narinar menyasarkan untuk mengembangkan lagi produk kami ke Brunei, Singapura, Indonesia dan Timur Tengah," katanya.

Beliau berkata, selain itu visi Narinar adalah untuk menjadi jenama pilihan minyak pati aromaterapi yang diuji halal dan selamat dengan menguasai 30 peratus pasaran segmen itu di Malaysia.

Disiarkan pada: August 12, 2022 @ 11:16am
d