pnp

Tawar rumah mampu biaya

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PAMERAN hartanah, MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang diadakan di Komtar JBCC, Johor Bahru, menawarkan rumah antara RM300,000 hingga RM500,000 sepanjang tiga hari program bermula semalam.

Eksekutif Kanan Pengiklanan NSTP Johor, Hassanudin Malek berkata, rumah mampu biaya di sepanjang pameran itu harus dimanfaat pengunjung, di samping mengetahui sektor hartanah dan pelaburan aset oleh pemaju pada program berkenaan.

Katanya, MyRumah 2019 kali ini menyasarkan kira-kira 20,000 pengunjung membanjiri pameran selama tiga hari termasuk rakyat tempatan dan warga Singapura yang ingin membuat pelaburan.

“Nilai rumah yang ditawarkan ini merangkumi rumah jenis berkembar dan dua tingkat, malah pengunjung turut diberi tips menarik dari pencemarah tentang bagaimana cara untuk membeli rumah.

“Dengan harga pasaran hartanah ketika ini, tidak dapat dinafikan ada yang tinggi, namun keperluan untuk penduduk memiliki rumah itu tetap ada.

“Program seumpama ini sememangnya diharapkan berterusan untuk jangka masa panjang, kerana ia memberi kelainan berbanding pameran lain terutama sambutan dan penerimaan pengunjung mahupun pemaju,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Guocoland (Malaysia) Berhad, Shaine Gan, mempelawa orang ramai hadir mendapatkan maklumat berkaitan pameran hartanah, selain membantu orang ramai termasuk peminjam yang mahu membeli rumah.

Katanya, pengunjung ditawarkan rebat sebanyak 10 peratus bagi bayaran pendahuluan, selain 10 peratus diskaun kepada bumiputera dan khidmat nasihat bagi permudah urusan belian rumah.

MyRumah 2019 di Johor menawarkan lebih 3,397 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

Siri ketiga pameran hartanah MyRumah Komtar JBCC itu akan berlangsung bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam disertai oleh lapan pemaju iaitu Bukit Pelali Properties Sdn Bhd, Dynasty View Sdn Bhd, GuocoLand (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad, KPKT serta Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seri Alam Properties Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd.

Ia juga turut disertai MBSB Bank Berhad, Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd, Oriental Food Industries Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd.

Terdahulu, siri pertama MyRumah dianjurkan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Mac lalu dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sebelum diteruskan ke pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, bulan lalu.

Selepas Johor Bahru siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan berlangsung di Ipoh dan Shah Alam, Selangor.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 4:22pm
d