rap

Dangdut Elda memukau

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Selama ini nama Elda Susanti mungkin agak terpinggir daripada kelompok penyanyi dangdut popular tempatan.

Bagaimanapun, keberaniannya menyertai program Dangdut Star di Astro dan kemudian D’Academy Asia 2 (DAA2) di Jakarta, Indonesia tahun lalu ternyata mengubah nasib Elda.

Kesungguhannya bersaing dengan peserta senegara iaitu Zizi Kirana, Jiwa, Roger, Asmidar dan Syura serta peserta negara serantau lain membuahkan hasil apabila menduduki saingan Top 12.

“Pencapaian ini dikira cukup membanggakan. Lebih penting, saya dapat ilmu menguasai dangdut dengan lebih berkesan daripada barisan juri berpengalaman dan hebat.

“Genre dangdut memerlukan penghayatan dan projektor suara serta mempunyai pelbagai karakter,” katanya.

Sepanjang penyertaannya, Elda, 33, berjaya membuatkan air mata penonton mengalir ketika menyampaikan lagu Anak Yang Malang.

“Lagu ini mampu meruntun jiwa apabila dinikmati secara mendalam. Gubahannya diberi nafas baru dan penyampaian saya memberi kesan kepada juri dan impaknya kekal hingga sekarang.

“Peminat Indonesia juga nampaknya belum ‘move on’ daripada bercakap perkara ini meskipun DAA2 sudah lama berakhir,” katanya.

Selain itu, sebuah lagi lagu nyanyiannya, Bunga Dahlia juga memukau hati juri dan penonton.

“Bukan saja persembahan, bahkan pakaian digayakan turut jadi perhatian dan secara tak langsung pereka fesyen negara kita, D’ Apple Busana yang menaja saya juga dapat tempiasnya.

“Sejujurnya pengalaman menyertai DAA2 sangat bernilai. Apatah lagi saya dapat berguru dengan nama hebat iaitu Erie Suzan dan Cikgu Adibal Sahrul,” katanya.

Elda yang pernah menghasilkan album Yang Ku Sayang (1997) dan Semakin Sayang (1998) tekad untuk kembali aktif menyanyi dan akan merakam single di bawah label Pak Ngah Production.

“Pak Ngah sarat dengan idea dan akan memperkenalkan muzik Melayu menerusi lagu ciptaannya buat saya.

“Dengan adanya lagu ini, kami merancang untuk buat promosi bergerak di seluruh Sumatera, Indonesia,” katanya.

Menurut Elda, bukan mudah buat artis Malaysia untuk masuk ke pasaran Indonesia dan penyertaannya dalam DAA2 memberikan kelebihan.

“Kira-kira 80 peratus peminat saya dari Medan dan mereka sering mengharapkan saya tampil dengan single terbaru.

“Single ini akan dirakamkan secara berduet dengan penyanyi dangdut Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Elda turut gembira kerana jadual seninya kini padat dengan persembahan di seluruh negara.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah. Ramai masih memberikan sokongan meskipun saya berehat agak lama.

“Bagaimanapun, saya sedar tanggungjawab sebagai isteri serta ibu kepada lima anak dan mereka jadi keutamaan saya,” katanya yang mendapat sokongan penuh suami tercinta, Syed Taufik, bekas pemain dram kumpulan Rio.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 12:28pm
d