rap

Gelagat bersahaja tambat hati

Oleh Zairee Mohd Yasak

Sikap bersahaja dan menjadi dirinya sendiri membuatkan pelakon Dazrin Kamarudin, 29, memilih Nur Fazulin Razali, 33, menjadi pasangan hidupnya walaupun baru dua tahun mengenalinya.

Pasangan yang berkenalan melalui aplikasi Smule ini disatukan dalam satu majlis pernikahan ringkas di Hotel Avilion Legacy, Melaka, Sabtu lalu disaksikan 200 tetamu.

Bercerita mengenai isterinya, Nur Fazulin atau Zulin yang juga ketua pramugari sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi, Dazrin berkata, sikap wanita itu yang menambat hatinya.

“Ketika awal perkenalan, Zulin menjadi dirinya sendiri memandangkan dia tidak mengenali saya sebagai pelakon, malah ia membuatkan saya lebih tertarik dengannya.

“Jika telefon terjatuh atau dia melatah sekalipun, dia hanya mengabaikan saja, malah meneruskan sesi Smule kami,” katanya selepas majlis pernikahannya berakhir.

Dalam majlis itu, Dazrin menyerahkan mas kahwin RM500 bersama tujuh dulang hantaran dengan berbalas 11

dalam upacara pernikahan yang dijalankan bapa pengantin perempuan, Razali Din.

Pasangan ini merancang berbulan madu di Milan, Itali atau Istanbul, Turki selepas selesai majlis persandingan mereka yang dijadualkan berlangsung di Melaka pada Julai ini.

Lebih mewarnai perkenalan pasangan itu apabila mereka bertemu buat kali pertama selepas empat bulan berkenalan di Puchong, Selangor.

“Zulin juga tidak cerewet sepanjang kami keluar bersama. Jika selera pada waktu itu di restoran mamak atau di warung tepi jalan, di situ kami tuju.

“Biarpun terpaksa berjauhan sepanjang menjalin percintaan, sikapnya itu sentiasa menyenangkan hati saya setiap kali bertemu dan membuatkan saya lebih mencintainya,” katanya.

Dazrin berkata, ketegasan Zulin juga membantunya memperbaiki penyusunan jadual hariannya yang sering mendapat tawaran produksi.

“Mungkin ini dikatakan rezeki perkahwinan kerana saya menerima dua tawaran serentak pada 10 Mei ini tetapi belum memutuskan pilihan.

“Saya juga tidak menghalang Zulin meneruskan tugasnya yang membantu umat Islam menunaikan haji dan umrah kerana ia satu tugas yang baik,” katanya.

Sementara itu, Zulin berkata, perkenalan mereka yang hanya berdasarkan minat menyanyi itu sentiasa diceriakan dengan sikap berseloroh dan merendah diri Dazrin.

“Dia sentiasa menceriakan keadaan dengan lawaknya dan merendah diri sepanjang kami bekenalan. Sikap itu juga yang saya rasai sepanjang kami keluar bersama.

“Malah, saya sendiri tidak tahu Dazrin pelakon sehingga rakan saya memaklumkan siapa Dazrin selepas beberapa bulan berkenalan,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 3:48am
d