rap

Faizal lengkapkan profil

Oleh Ramlah Zainal

Kali terakhir pengacara terkenal Faizal Ismail mengendalikan acara berprestij adalah Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 2015.

Oleh itu, peluang buat julung kalinya mengacarakan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 3.0 enggan dilepaskan pengacara berpengalaman ini.

“Sepanjang berkecimpung dalam dunia penyiaran, saya pernah mengacara Anugerah Juara Lagu, Anugerah Skrin dan AIM.

“Namun, ini kali pertama diberi peluang mengacarakan ABPBH yang melengkapkan profil saya,” katanya.

Kata pemenang kategori penyampai Radio Popular ABPBH enam kali ini, dia juga sudah dua tahun tidak terbabit dalam anugerah berprestij seperti ABPBH.

“Saya juga berdebar kerana ingin mengasah kembali bakat mengacarakan majlis anugerah. Ia bukan perkara mudah kerana sangat berbeza dengan program lain yang bersiaran secara langsung di kaca TV,” katanya.

Faizal tidak ketinggalan menzahirkan rasa gembira dan teruja apabila digandingkan dengan Fauziah Ahmad Daud (Ogy) serta Zulin Aziz bagi mengendalikan ABPBH 3.0.

“Gandingan kami bertiga memang tepat untuk mewakili ABPBH yang sudah mencecah usia 30 tahun.

“Pada pandangan saya, Ogy, artis bertaraf legenda dan versatil dalam dunia seni . Beliau antara pengacara sering beraksi di pentas ABPBH dan masih relevan selepas 30 tahun yang memenangi anugerah Bintang Paling Popular pada edisi pertama.

“Saya mewakili golo­ngan pertengahan manakala Zulin pula pengacara generasi baru dan sangat berbakat,” katanya.

Faizal berkata, demi memastikan segalanya berjalan lancar dia melakukan persediaan rapi menjelang penganjuran ABPBH 3.0.

“Saya percaya persiapan awal sangat penting walaupun ada perkara yang akan berlaku secara spontan di pentas nanti.

“Lapan puluh peratus persembahan pada malam anugerah membabitkan persediaan yang teliti. Manakala 20 peratus lagi untuk idea spontan yang akan memeriahkan lagi suasana,” katanya.

Faizal ditemui pada majlis prakemuncak ABPBH 3.0 yang berlangsung di Galeri Prima, Anjung Riong, Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya sama ada dia merindui dunia glamor sebagai penyampai radio, kata Faizal, dia pernah berada dalam kelompok terbabit satu masa dulu.

“Saya memang rindu dengan tugas penyampai radio tetapi bukan lagi untuk glamor dan populariti semata-mata.

“Malah, saya pernah berasa sampai satu tahap populariti boleh menjadi satu bebanan. Itu antara faktor mengapa saya berasa perlu lari seketika dari bidang ini dan mahu meluangkan lebih masa untuk diri sendiri serta keluarga.

“Saya juga sudah lama bersedia untuk tidak lagi jadi insan popular. Sekarang pun ada ramai bakat baru dan tidak mungkin saya akan popular selama-lamanya. Ia realiti yang perlu diterima semua pengacara dan anak seni,” katanya.

Program bual bicara setaraf Jimmy Kimmel

Selepas meninggalkan konti radio, Faizal fokus mengacara program TV sahaja.

“Saya mengimpikan mengacarakan program bual bicara setaraf dengan program Hollywood kendalian Jimmy Kimmel dan Ellen DeGeneres.

“Mungkin ia agak sukar kerana banyak kekangan di negara ini termasuk bajet. Bagaimanapun, saya percaya tidak mustahil bergelar personaliti bertaraf antarabangsa satu hari nanti,” katanya.

Menurut Faizal, buat masa ini dia hanya fokus tugasannya sebagai pengacara ABPBH 3.0.

“Selain itu, saya akan mengacarakan program Sembang Sahur yang akan bersiaran secara langsung setiap Rabu dan Khamis di TV3 pada Ramadan nanti.

“Sebelum ini, saya menjadi hos Nasi Lemak Kopi O di TV9 tetapi kontrak sudah berakhir Mac lalu,” katanya.

Perkembangan lain, Faizal terbabit dalam bidang penerbitan program TV dan pengurusan acara.

Antara program yang pernah diterbitkan produksinya ialah Gempak Superstar, Masaklah Kau dan drama digital 3 Gadis pada 2016.

“Selain itu, saya dan isteri sibuk mengembangkan bisnes Daging Itam Manis FBI dengan kerjasama agensi kerajaan iaitu SME Corps.

“Kami ingin membawa bisnes ini ke satu tahap yang boleh dibanggakan dan ia memerlukan fokus dan komitmen tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 3:54am
d