rap

Ubah tanggapan negatif

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BUKAN semua orang dapat menerima kerjaya pemuzik dan itulah dilema yang dihadapi Projector Band pada awal kemunculan.

Bukan sahaja dikritik masyarakat, hasrat mereka turut mendapat tentangan hebat keluarga.

“Tak dinafikan, ada segelintir pihak memandang negatif kerjaya ini. Kami pula banyak berlatih pada sebelah malam.

“Disebabkan itu ada jiran mengatakan kami tidak ada masa depan,” kata Angah selaku gitaris kumpulan itu.

Angah atau nama sebenarnya Razif Zainuddin memaklumkan, ibunya juga tidak menggalakkan dia menceburi dunia muzik.

“Ibu risau kerana baginya kerjaya ini tiada jaminan. Namun saya buktikan boleh menjana kewangan melalui jalan yang di pilih ini.

“Kini ibu mula merestui dan sering ikut ke mana sahaja saya pergi sekiranya ada persembahan,” katanya.

Selain berdepan pandangan negatif masyarakat, Projector Band juga pernah dicemuh golongan ‘mat motor’.

“Mereka mendakwa kami lupa diri. Hakikatnya kami bukan ‘mat motor’ dan tidak mengenali mereka.

“Kami sedia maklum lagu kami mungkin sesuai dengan mereka malah ada yang menganggap ia lagu ‘rempit’,” katanya.

Ditanya mengenai single kedua berjudul Pasti Ada Kamu, Angah berkata meskipun momentumnya tidak sehebat Sudah Ku Tahu, jumlah tontonan video lirik di YouTube tidak mengecewakan.

“Kami bersyukur kerana ia masih diterima peminat. Bahkan setiap kali menjayakan pesembahan, ramai turut sama menyanyikan lagu ini.

“Selepas kejayaan single pertama, kami perlu hasilkan lagu baru untuk kelangsungan karier.

“Bagi kami kalau asyik menyanyikan lagu sama, tentu peminat akan muak. Dengan adanya beberapa lagu baru persembahan kami akan lebih bervariasi.

“Selain Sudah Ku Tahu dan Pasti Ada Kamu, kami sudah mula mempromosikan single ketiga, Aishah yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Selain Angah, Projector Band turut dianggotai Iskandar Zulkarnain Shafin selaku vokalis, Muhammad Safiq Zainuddin (dram), Isnaidi Eidham Razali (gitar) dan Ahmad Khusairi Shaferi (bass).

Terbaru, Projector Band dilantik sebagai ikon Skim Latihan 1Malaysia yang diwujudkan untuk belia.

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 4:42am
d