rap

Tak nak 'sorok kuku'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Saingan separuh akhir program realiti Rockanova yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, malam kelmarin menyaksikan empat peserta iaitu Mel, Azmi, Zarith dan Dian layak ke peringkat akhir.

Ia juga menyaksikan Dayah tersingkir, sekali gus gagal ke peringkat akhir yang berlangsung di lokasi sama Rabu depan.

Mel, 33, atau nama sebenarnya Malisa Janudin yang menerima komen positif daripada juri yang terdiri daripada Datuk Awie, Edry Abdul Halim dan Rock Babe, Ziana Zain tidak membuatkannya terlalu selesa.

“Tentunya saya sentiasa berhadapan rasa gemuruh bila beraksi di pentas. Saya cuba lakukan terbaik dan apabila diberikan komen positif, saya sangat bersyukur,” katanya.

Mempersembahkan lagu Nur Nilam Sari secara solo dan Senja Nan Merah duet bersama Syamel, persembahan Mel nampak lancar.

“Saya kerap bertanya kepada tenaga pengajar iaitu Datuk Hattan dan Cikgu Sarah. Alhamdulillah kedua-duanya adalah lagu yang saya suka dan selalu nyanyikan.

“Untuk peringkat akhir, saya akan berusaha lebih keras dan cuba perbaiki apa yang kurang dalam persembahan di separuh akhir,” katanya.

Zarith atau nama sebenarnya Zarith Sofia Mohd Yasin yang menyampaikan lagu You Give Love A Bad Name dalam persembahan solo turut menerima pujian juri.

“Untuk lagu solo itu, saya berikan semua yang termampu dan tak ada lagi simpan-simpan. Mungkin untuk sebutan dalam bahasa Inggeris, banyak yang perlu saya perbaiki seperti yang dikatakan Ziana Zain,” katanya.

Ditanya sama ada dia menyimpan keyakinan untuk layak ke peringkat akhir, Zarith menganggap itu rezeki buatnya.

“Kalau diikutkan, sasaran saya hanya dalam kalangan Top 5 sudah memadai tetapi apabila nama diumumkan sebagai seorang daripada empat finalis, saya anggap ini sebagai rezeki,” katanya.

Selain nyanyian solo, Zarith turut berduet bersama Sufi menerusi lagu Ku Miliki Bayangmu nyanyian asal Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Ramli Sarip.

Finalis lelaki tunggal, Azmi Khan Setapar atau Azmi, 28, berkata, dia ingin mewakili peserta lelaki lain yang kecundang.

“Saya mewakili semua rakan lelaki yang tidak melangkah ke peringkat akhir. Walaupun saya peserta lelaki tunggal, itu tidak mematahkan semangat saya.

“Untuk peringkat akhir, saya percaya selain usaha, kemampuan tenaga pengajar juga sedikit sebanyak akan membantu persembahan saya,” katanya.

Azmi juga tidak mahu terlalu yakin, tetapi menyerahkan semuanya kepada Tuhan. Di peringkat separuh akhir, Azmi menyampaikan lagu solo Dari Kekasih Kepada Kekasih dan duet bersama Azmi Saat menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Peserta terakhir yang terpilih untuk melayakkan diri ke peringkat akhir, Dian mengakui, percaturan juri dan markah undian penonton sememangnya tidak dapat diduga.

“Sebelum diumumkan layak ke peringkat akhir, saya tidak terlalu meletakkan harapan memandangkan Dayah juga memiliki vokal sangat hebat.

“Percaturan juri dan undian penonton juga, saya tak dapat agak kerana komen yang diberikan selepas saya membuat persembahan, tidak terlalu memuaskan,” katanya.

Di pentas separuh akhir itu, Dian atau nama sebenarnya Sri Diana Amir Bashah mempersembahkan lagu Misteri Mimpi Syakila dan Aku Yang Tersakiti duet bersama Azharina.

Dayah akur tersingkir

Dayah yang tampil dengan lagu Sinar serta Jeritan Batinku duet bersama Ronnie Hussein reda dengan penyingkirannya.

“Saya terima setiap komen yang diberikan. Saya akui, dua lagu tugasan yang diberikan kepada saya pada minggu separuh akhir ini mencabar kemampuan saya.

“Saya tidak kecewa, tetapi menganggap setiap yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Konsert akhir Rockanova yang berlangsung Rabu depan bakal menyaksikan pertarungan sengit empat finalis di samping persembahan hebat Wings, Datuk Ramli Sarip, Ella dan Sahara Yaacob.

Dalam saingan separuh akhir, Khalifah turut tampil membuat persembahan.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 3:52am
d