rap

Mentor Milenia raih rating tertinggi

Oleh Nor Akmar Samudin

KONSERT akhir Mentor Milenia 2017 yang ditayangkan secara langsung di TV3, Ahad lalu mencatat sejarah dengan rating melebihi 3.5 juta penonton sekali gus melebihi rating semua program realiti terbitan Media Prima Berhad dalam tempoh empat tahun sebelum ini.

Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap Penerbit Eksekutif Mentor Milenia 2017, Muhamad Sufian Isa berkata, jumlah rating itu sangat mengejutkan kerana program TV sekarang terpaksa bersaing dengan media sosial di mana penonton boleh menyaksikannya menerusi dalam talian saja.

“Rating itu menunjukkan ‘standard’ Mentor Milenia 2017 hampir menyamai Anugerah Juara Lagu. Saya dan pasukan Mentor Milenia sangat gembira dengan pencapaian ini,” katanya.

Menurut Sufian, kejayaan program ini adalah kerana kerja keras dan usaha mentor serta protegenya.

“Sebenarnya banyak faktor lain yang menyumbang kepada jumlah rating, tetapi saya tak rasa elemen drama adalah satu daripadanya. Kami tidak menekankan eleman drama tetapi kami hanya menjual bakat, protege dan gaya mentor. Mungkin penonton sukakan watak peserta tahun ini seperti Ucop yang mendapat perhatian penonton sejak awal lagi.

“Watak mentor dan juri turut menyumbang kepada rating. Elemen drama mungkin ada sedikit tetapi kami tidaklah menjualnya untuk tarikan penonton,” katanya.

Sufian berkata, konsert mingguan Mentor Milenia pernah mencecah rating 3.1 juta dan purata rating setiap minggu ialah 2.5 juta penonton.

Konsert akhir Mentor Milenia 2017 menobatkan protege Akim iaitu Elica sebagai juara.

Kemenangan itu membolehkan Elica membawa pulang wang tunai RM 100,000, trofi, telefon bimbit Neffos X1 Max dan pakej percutian ke London.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 6:36pm
d