rap

Aaisyah oh Aaisyah

Oleh Norhadiani Baharom

'LIKE mother, like daughter'. Sikap suka melaram Aaisyah Dhia Rana Zain Saidin, sering dikaitkan dengan ibunya, Rozita Che Wan, yang juga selebriti terkenal tempatan.

Bercakap mengenai Rozita Che Wan atau Che Ta, dia sememangnya dikagumi peminat kerana kecantikannya malah sentiasa menjaga penampilan diri.

Kecenderungan Che Ta terhadap fesyen dan kecantikan, nampaknya diwarisi oleh anak perempuannya, Aaisyah yang sangat suka melaram walaupun baru berusia 2 tahun 6 bulan sehinggakan ramai yang tercuit dengan gelagat rakaman video dan foto Aaisyah sedang bersolek mahupun beraksi seperti peragawati.

Sebilangan kecil netizen pula berpendapat, di usia sebegitu Aaisyah tidak sepatutnya didedahkan dengan solekan yang boleh memberikan implikasi pada kulit kanak-kanak.

"Bukannya selalu Aaisyah bersolek. Dia hanya bersolek jika ke majlis tertentu saja itupun hanya mengenakan solekan yang nipis dan kadang-kadang saya cuma acah-acah saja memakaikan dia sedikit gincu, pembayang mata dan pemerah pipi.

"Sekadar memuaskan hatinya. Kalau tidak dia akan mengamuk jika tidak disolek. Sebagai ibu dan seorang yang amat menitik beratkan kecantikan diri terutamanya kulit wajah, tentunya saya tahu alat solek boleh memberikan kesan kepada kulit kanak-kanak.

"Jadi untuk Aaisyah saya tidak pernah memakaikannya bedak asas dan memastikan wajahnya dibersihkan setiap kali disolek," kata Che Ta.

Akui Che Ta, Aaisyah mengingatkan dirinya semasa kecil di mana sedari usia kanak-kanak lagi dia sendiri sudah pandai melaram.

Katanya, Aaisyah tidak mahu keluar jika tidak berkasut tumit tinggi.

Jika diberikan sepatu bertumit rendah, puterinya itu akan memberikan pelbagai alasan seperti kaki sakit selain bosan.

"Saya masa zaman sekolah memang suka melaram. Keluar jalan-jalan mesti nak pakai gincu. Jadi saya tak pelik kalau sikap saya ini menurun pada Aaisyah. Disebabkan minat Aaisyah pada kecantikan, ada kenalan memaklumkan kepada saya kini terdapat alat solek untuk kanak-kanak dan saya berminat membelinya untuk Aaisyah," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 10:33pm
d