rap

Hamil bantu hayati watak

Oleh Syanty Octavia Amry

Sarat hamil tidak menjadi halangan buat pelakon Ezzaty Abdullah, 27, untuk menerima tawaran berlakon. Kalau sudah rezeki selagi terdaya apa salahnya dilakukan.

Meskipun sudah diberitahu awal kepada produksi keadaannya yang sedang hamil, nyata ia lebih mempermudahkan urusan apabila watak itu memang memerlukan wanita hamil.

“Syukur alhamdulillah jika diikutkan hendak berehat saja apabila hamil ini namun produksi filem Kalla memang mahukan saya memegang watak wanita hamil.

“Menerusi filem itu saya bergandingan dengan Saharul Ridzwan dan kami menjadi pasangan suami isteri.

“Lagipun, ketika pengambaran itu nanti kandungan saya sudah hampir enam bulan dan berharap tiada masalah kelak,” katanya.

Ezzaty yang kini sedang hamil hampir 10 minggu begitu teruja kerana sangat berharap dapat mengandung awal.

Dia akan memulakan penggambaran filem Kalla selepas Aidilfitri.

Dalam pada itu, Ezzaty juga sedang menghabiskan tempoh penggambaran telefilem terbarunya, Pengurus Itu Saudaraku yang bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

“Buat sementara ini saya hanya ambil tawaran berlakon telefilem kerana ia tidak memerlukan masa yang panjang.

“Selepas ini saya akan berehat panjang. Filem Kalla adalah lakonan terakhir saya sebelum berehat sebentar sehinggalah habis pantang,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 3:27am
d