rap

Gergasi rock Kota Singa

Oleh Payatt

Generasi hari ini mungkin tidak ramai mengenali penyanyi rock Singapura, Hanafie Warren dan bandnya, The Unwanted.

Pada awal 1980-an, ketika muzik rock belum mendominasi industri muzik tanah air, The Unwanted sudah mula meraih populariti.

Lagu seperti Penyesalan, Masih Ada Rindu, Nasi Lemak Kopi Susu dan Sekadar Pesanan menjadikan The Unwanted antara band rock hebat dari Singapura bersama Sweet Charity.

Kini, dalam usia 62 tahun, Hanafie masih aktif sebagai penyanyi rock. Imejnya masih kekal dengan berambut panjang dan ‘rugged’.

Dalam erti kata lain, usia bukan penghalang untuk Hanafie terus ‘rockin’!

Malah, The Unwanted yang kini dianggotai Hanafie serta Ismail Sukar (gitar), Azim Adnan (dram), Syed Mohd Amin (keyboard) dan Ramli Kartio (bass) masih aktif mengadakan persembahan di Singapura.

“Kami masih mendapat undangan mengadakan persembahan di sekitar Singapura. Malah, banyak lagi band rock era 1980-an di Singapura masih aktif, antaranya Lovehunters, Rusty Blade dan Rockers. Kami juga baru saja mengadakan persembahan di Singapore Music Festival,” katanya ketika ditemu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sejak ditubuhkan, The Unwanted menghasilkan tiga album iaitu Pelangi pada 1981, Terpedaya dan Masih Ada Rindu (1984).

“Kami mengadakan konsert jelajah pertama di Malaysia pada 1981 bersama Alleycats. Waktu itu penerimaan terhadap muzik rock sangat ketara. Walaupun belum ada band rock Malaysia merakamkan album ketika itu, tetapi sambutan terhadap setiap konsert kami cukup hebat.

“Pada 1983, kami bersama Lefthanded, Headwind dan Allahyarham M Shariff terbabit dalam Konsert Sidang Rock di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan sambutannya cukup meriah. Ia antara konsert yang tak dapat saya lupakan,” katanya yang banyak dipengaruhi penyanyi rock legenda seperti Robert Plant, Ian Gillan dan David Coverdale.

Menurut Hanafie, dari segi muzik, The Unwanted banyak mendapat pengaruh daripada Sweet Charity, Deep Purple, Rainbow dan Yes.

Hanafie berkata, sambutan di Singapura juga tidak kurang hebatnya. Antara yang tidak boleh dilupakan ialah ketika konsert bersama Sweet Charity pada awal 1980-an yang dihadiri lebih 50,000 penonton.

“Waktu itu di Singapura, mengadakan konsert di Panggung Negara adalah sesuatu yang wajib. Kebiasaannya tiket ‘sold out’! Penonton yang tidak dapat membeli akan menggunakan ‘tiket daun’ iaitu mereka memanjat pokok yang terdapat di keliling Panggung Negara supaya dapat menonton konsert,” katanya ketawa.

Sudah ada sembilan album solo

Selepas album Masih Ada Rindu, Hanafie tampil dengan album solo pertamanya iaitu Terperangkap Dalam Sinaran pada 1986.

Hingga kini Hanafie sudah menghasilkan sembilan album solo dan sebahagian daripadanya tidak dipasarkan di Malaysia.

“Selepas tamat kontrak dengan Life Records, album saya tidak lagi dipasarkan di Malaysia,” katanya.

Terbaru, Hanafie tampil dengan album Riwayatku yang juga album solo kesembilannya. Ia mula dipasarkan di Singapura pada Disember tahun lalu.

Riwayatku juga ialah album terbarunya selepas lapan tahun tidak menghasilkan album.

Apa yang menarik, album itu juga menyaksikan Hanafie bekerjasama dengan anaknya, Fifi Leong, 24, yang bertindak sebagai penerbit, komposer dan pemain keyboard.

Selain Fifi, album itu juga menampilkan tenaga muda di belakang tabirnya seperti Caspar Francis, 24, (bass), Iliya Zaki, 24 (gitar), Melvin Cyril, 23 (gitar) dan Lee Joon Lei, 22 (dram).

Hanafie berkata, Riwayatku berbeza berbanding album solonya yang lain dan The Unwanted.

“Susunan muziknya lebih berat dan moden. Ia sesuai untuk peminat dalam kalangan generasi baru.

“Ketika menghasilkan album ini, saya beritahu Fifi saya tidak mahu ia sama seperti The Unwanted atau album yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Saya mahu ia berbeza sama sekali,” katanya yang turut merancang mengedarkan album itu di sini serta mengadakan persembahan.

Menurut Hanafie, dia juga tidak bimbang jika ada peminat lamanya kecewa dengan pembaharuan itu.

Baginya, dia mahu mereka tahu bagaimana muzik yang diketengahkannya sekarang.

“Saya harap ia mampu menarik peminat baru dan dalam masa sama mengekalkan peminat saya yang dulu,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 3:30am
d