rap

Nidji betul-betul bertenaga

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kelincahan setiap anggota Nidji terutama penyanyinya, Giring menjadi faktor setiap persembahan mereka disukai walau di mana saja.

Inilah yang dilakukan mereka dan berjaya menghiburkan lebih 1,000 peminat sempena Konsert Joox Live bersama Nidji di Kilang Bateri, Johor Bahru, baru-baru ini.

Apa yang pasti, suasana di Kilang Bateri malam itu gamat dalam konsert anjuran Joox Malaysia yang juga aplikasi penstriman muzik terkemuka Malaysia dengan kerjasama Universal Music Malaysia.

Konsert yang bermula jam 9.20 malam itu menampilkan persembahan bertenaga daripada band yang turut dianggotai Rama, Andro, Ariel, Randy dan Adri.

Giring yang memang dikenali dengan aksi lincahnya berjaya memukau penonton dari awal persembahannya dengan lagu pembukaan Gantungi Aku yang dipetik daripada album terbaru mereka, Love, Fake & Friendship.

Malam itu peminat di Johor Bahru turut berpeluang menyaksikan Nidji mendendangkan tiga lagu daripada album yang memuatkan 12 lagu iaitu Gantungi Aku, Bila Bersamamu dan Hancur Aku.

Bila Bersamamu yang juga single pertama album berkenaan adalah ciptaan pemain gitar Nidji iaitu Ariel yang juga dimuatkan dalam album runut bunyi filem komedi Indonesia, The Guys.

Lagu Hancur Aku pula adalah lagu asal nyanyian kumpulan popular tanah air, Estranged bersama Fazura yang dirakam semula Nidji mengikut versi mereka tersendiri.

Album baru mereka juga dianggap begitu istimewa apabila terlebih dahulu dilancarkan di negara ini, khusus bagi menghargai peminat mereka di Malaysia yang sentiasa menyokong Nidji sehingga mampu bertahan selama 15 tahun.

Konsert yang diadakan dalam siri jelajah ke Malaysia itu juga disifatkan hadiah buat peminat mereka di Malaysia.

Selain itu, Nidji turut menampilkan lagu popular yang mengangkat namanya di Malaysia seperti Shadow, Arti Sahabat, Teroesir (Menunggu Karma), Sang Mantan, Sudah dan Disco Lazy Time.

“Selama 15 tahun pembabitan Nidji dalam industri muzik, kami mahu menghargai persahabatan antara Nidji dengan anda semua, peminat kami di Malaysia,” kata Giring.

Berkongsi dengan peminat mengenai minat mereka terhadap band dari Britain, Coldplay, Nidji turut mendendangkan dua lagu band popular dunia itu iaitu Adventure Of A Lifetime dan Sky Full Of Stars yang ternyata membuktikan kehebatan suara Giring serta kehandalan anggota Nidji memainkan muzik Coldplay.

Semakin menuju ke pengakhiran konsert, peminat Nidji terus teruja apabila Giring langsung tidak ‘pancit’ dan kekal bertenaga.

Giring juga sempat turun ke bawah pentas bersalaman dengan peminatnya yang dilihat sudah ‘hampir gila’ ikut menyanyi dan ‘sporting’ apabila berdiri selama konsert berlangsung.

Tidak lengkap rasanya persembahan Nidji tanpa lagu yang betul-betul ‘berhantu’ bagi kumpulan itu dan mereka bijak menamatkan konsert dengan lagu Laskar Pelangi, Biarlah dan Hapus Aku.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 2:23pm
d