rap

Terkejut dipuji Nicky Astria

Oleh Georgie Joseph

JUARA Mentor Milenia 2017, Elica mengakui terkejut dan berbesar hati apabila nyanyiannya dipuji penyanyi legenda Indonesia, Nicky Astria di Instagram (IG).

Videonya menyanyikan lagu Samar Bayangan nyanyian asal penyanyi itu di Final Mentor Milenia, 7 Mei lalu dimuat naik Nicky di akaun IG miliknya, hari ini seraya mengakui kehebatan Elica.

"Saya sejujurnya tidak pernah bermimpi akan mendapat pujian daripada penyanyi legenda seperti beliau. Keluar daripada mulutnya, ia benar-benar mengejutkan saya.

"Sebaik mengetahui dia memuat naik video berkenaan di akaun IG peribadinya, saya serta-merta memeriksanya kerana masih tidak percaya.

"Pertama kali mendengar lagu itu, saya jatuh cinta. Istimewanya, lagu itu jugalah yang membawa tuah dan memberikan saya kemenangan," katanya.


Sementara itu, Nicky berkata, bukan mudah menyanyikan lagu berkenaan dan nyanyian Elica lebih bagus daripada nyanyiannya.

"Saya dapat tahu mengenai hal ini daripada seorang rakan. Bagus sangat kerana lagu ini menuntut tenaga dan nafas yang panjang.

"Jika arwah Datuk Adnan Abu Hassan masih ada, pasti beliau bangga lagu ciptaannya mampu dinyanyikan kembali generasi baru jauh lebih baik daripada penyanyi asal," katanya sambil mendoakan Elica terus sukses.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 12:00am
d