rap

Buah tangan kelima Nidji

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Lima tahun menanti, akhirnya band popular Indonesia, Nidji kembali dengan buah tangan kelima berjudul Love, Fake & Friendship.

Menampilkan 12 lagu baru, melodi Love, Fake & Friendhsip nyata lebih segar berbanding album terdahulu.

Malah, muzik yang dibawakan band berusia 15 tahun ini kedengaran lebih matang.

Love, Fake & Friendship turut menyajikan muzik pop dengan nada elektronik yang wajar diberi perhatian, bukan saja pada satu lagu tetapi semuanya.

Lebih menarik, band dianggotai Giring selaku vokalis, Andi Ariel (gitaris), Ramadhista Akbar (gitaris), Randy Danistha (pemain keyboard), Andro Regantoro (bassis) dan Adri Prakarsa (pemain dram) turut mengetengahkan trek lagu saduran, Hancur Aku nyanyian asal Estranged.

Menyuntik sedikit kelainan, Nidji menawarkan versi berbeza lagu ini dengan nada lebih ‘keras’ serta pertukaran beberapa bait lirik.

“Kami tukar beberapa lirik untuk disesuaikan dengan pasaran muzik Indonesia yang dahagakan lagu ‘galau’ atau patah hati.

“Oleh itu, daripada lagu untuk sahabat kami tukarkan kepada bekas kekasih, namun jalan ceritanya tidak banyak berbeza,” kata Giring.

Jika versi asal Hancur Aku menyaksikan Estranged berduet dengan Fazura, Nidji pula memilih berkolaborasi dengan pendatang baru dalam industri muzik Indonesia, Dea.

Menerusi album yang mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan, Nidji menggunakan khidmat beberapa penulis muzik berbakat besar. Antaranya Tulus, Pongky Barata, Petra Sihombing dan Rian Ekky Pradipta.

Selain Hancur Aku, 11 lagu lain adalah Bila Bersamamu, Terlahir Beda, Gantungi Aku, Musnah, Jalani Hidup dengan Cinta, Terserah, Sabar, Energi Cinta, Cinta yang Hilang, Trying To Find You dan Hara Tanah.

INFO

• Album: Love, Fake & Friendship

• Artis: Nidji

• Label & edaran: Universal Music Malaysia

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 5:08am
d