rap

Zamarul masih berbisa

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Ketika pelakon lelaki seusianya diberikan watak sebagai bapa, Zamarul Hisham masih bertaring apabila ditawarkan watak hero.

Wataknya sebagai Johan, seorang duda berusia 40-an yang bercinta dengan Sarah (Izara Aishah) yang baru mencecah usia 20 tahun menerusi drama Cinta Masam Manis yang pernah ditayangkan di TV3 berjaya memikat hati peminat.

Zamarul, 46, berkata, secara peribadi dia melihat dirinya tidak lagi sesuai melakonkan watak lelaki bercinta, selain perlu membuka peluang kepada pelakon baru.

“Ikutkan usia saya memang sudah tak sesuai, tetapi jika penulis skrip dan stesen TV mahukan kelainan seperti cerita ini, apa salahnya.

“Lagipun cerita begini memang berlaku dalam kehidupan yang orang tak terfikir nak buat. Sebenarnya ia membuka mata peminat bahawa usia bukan penghalang untuk bercinta,” katanya.

Menurutnya, kejayaan cerita ini membuktikan dia masih boleh bersaing dengan pelakon muda.

“Tawaran berlakon masih tak putus dan syukur saya masih terpilih. Ikutkan badan memang penat terutama kalau buat cerita aksi.

“Namun, nawaitu saya bekerja cari rezeki untuk keluarga dan syukur segala-galanya dipermudahkan. Saya tak lupa berdoa setiap kali lepas solat agar dimurahkan rezeki,” katanya yang tidak pernah dengki dengan kejayaan pelakon lain.

Populariti yang dikecapi membuatkan Zamarul kini terpilih menjadi duta Kopi Badang serta membintangi drama 60 episod berjudul Dia terbitan Orangetree Production Sdn Bhd.

“Saya datang daripada darah seni. Kalau tinggalkan lakonan sebulan pun rasa gian nak berlakon dan ini antara faktor saya terus bertahan.

“Jadual drama ini padat, tapi saya masih boleh menyesuaikannya untuk berlakon filem Blok 404 yang akan menjalani penggambaran pada Jun ini,” katanya.

Filem ini diambil daripada drama popular Blok 404 yang diterbitkan dalam bentuk video cakera padat dan pernah mencatat jualan box office.

“Ia adalah cerita baru cuma bentuknya kekal sama dengan VCD Blok 404. Pelakon asal yang terbabit ialah saya, Raja Azrey, Nabila Huda dan Boy Iman.

“Saya tengok skrip cerita ini menarik dan terus setuju berlakon filem arahan Azma Aizal Yusoof ini. Saya pernah kerja dengan Isma dan tahu cara dia bekerja,” katanya yang lebih melihat bakat pengarah itu berbanding kisah kontroversi yang pernah berlaku.

Dalam pada itu, Zamarul teruja kerana isterinya, Diana kini hamil anak kedua mereka.

“Ini rezeki kami selepas anak pertama, Kashfi Haikal berusia tujuh tahun. Usia kandungan Diana dah lebih lima bulan dan insya-Allah akan melahirkan anak pada Ogos atau September ini. Faktor usia dan dengan keadaan Diana, buat segala-galanya berubah.

“Dulu lepas penggambaran saya akan berkumpul dengan kawan untuk berbincang mengenai lakonan. Sekarang habis saja penggambaran, saya terus balik rumah untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 5:22am
d