rap

Identiti baru kempen Ramadan Raya 2017

Oleh Ramlah Zainal

Syukur Selalu sudah sebati dengan kempen Ramadan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.

Masih lagi mengekalkan Syukur Selalu yang sudah menjadi identiti kempen Ramadan Raya, MPTN kali ini memperkenalkan Terima Kasih sebagai kempen Ramadan Raya 2017, sekali gus inisiatif baru memperkukuhkan lagi pengisian program pada tahun ini.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nazri berkata, kempen Terima Kasih dipilih kerana pihaknya ingin menerapkan semula budaya yang semakin terhakis dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Kadang-kadang dalam kehidupan seharian kita agak berat mengucapkan perkataan terima kasih.

“Justeru, pihak kami berasa bertanggungjawab menghidupkan semula budaya itu.

“Pihak kami juga mengakui jenama Syukur Selalu sangat kuat dan sudah tiga tahun kempen ini digunakan.

“Kini, sampai masanya pihak kami melakukan perubahan dengan menghidupkan kembali budaya untuk mengucapkan terima kasih untuk membuatkan diri kita berasa lebih dihargai,” katanya.

Siti Nurlisia ditemui pada sidang media program memperkenalkan duta Ramadan Raya 2017 dan pelancaran program Ramadan TV3 &TV9 yang berlangsung di hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas mengenai kempen itu, Nurlisia berkata, dua penyanyi dan komposer terkenal iaitu Aizat Amdan dan Faizal Tahir dipilih menyanyikan lagu tema berjudul Terima Kasih.

“Selain barisan selebriti popular, pihak kami turut memperkenalkan seorang bintang sukan iaitu pemain bola sepak Zaquan Adha untuk menjalankan tugas sebagai duta kempen Ramadan Raya kali ini.

“Bukan saja hiburan, pihak kami juga ada platform sukan dan menayangkan perlawanan bola sepak. Zaquan akan terbabit dalam Duta Skuad Terima Kasih,” katanya.

Barisan selebriti yang dilantik sebagai duta kempen ialah Ayda Jebat, Mira Filzah, Redza Rosli dan Elfira Loy.

Pengisian dan program menarik meriahkan kempen

Seperti tahun sebelumnya, Nurlisia berkata, pelbagai aktiviti bakal dilaksanakan bagi mempromosikan kempen seperti penganjuran Bazar Terima Kasih, Jom Masjid, Skuad Terima Kasih dan kolaborasi bersama kumpulan Suria KLCC.

“Pelbagai program dan drama menarik, berkualiti serta memiliki mesej yang sesuai disajikan untuk penonton sepanjang Ramadan di saluran TV3 dan TV9,” katanya.

Antara drama rantaian yang akan bersiaran di TV3 ialah Budak Ijat di Slot Iris, Andainya Takdir (Samarinda), Ku Kirim Cinta (Akasia), Menantu Bilal (Dahlia), Bahagia Kasihmu dan Tukar-Tukar Menu (Zehra).

Selain itu, telefilem yang akan ditayangkan di Slot Cerekarama TV3 ialah Surat Mati Abah, Ramadan Terindah Nurani, Puisi Sedih Al-Kitab, Malam Tanpa Yasin, Restu Ramadan dan Terima Kasih Ramadan.

Program Raudhah TV3 pula menampilkan Jejak Rasul As Salam, Madrasah, Projek Da’i, Qari Jr 2017, Kalamullah dan Al-Kulliyah. Program gaya hidup ialah Moreh, Apa Nak Makan Ni? dan Nona Ramadan.

Tidak ketinggalan, program bual bicara dan majalah iaitu Sembang Sahur 2017 dan Bersamamu Penuhi Impian.

Drama rantaian yang ditayangkan di saluran TV9 ialah My Sweet Lavender. Skrin Di 9 pula menampilkan drama seperti Wanita Luar Biasa, Ramadan Ini Milik Siapa? Imamkan Aku dan Balasan Dosa.

Slot Raudhah di TV9 pula menayangkan program Ramadan 101, Solat Terawih dari Masjidil Haram dan Sounds Of Muslims.

Program gaya hidup dan majalah di TV9 pula ialah Jalan-Jalan Bazar Ramadan, Jom Berbuka, Bila Bujang Masuk Dapur dan Eksperimen Sosial.

Tidak ketinggalan, platform digital, tonton.com.my turut menyajikan program hebat pada Ramadan ini seperti Sembang Warung Halal, Misi Laksa dan Laksam dan Reban Ayam.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 12:32am
d