rap

Kembali berkolaborasi

Oleh Michelle Gun

Selepas menghasilkan single Jangan Menangis hasil ciptaan bersama Faizal Tahir, Aizat Amdan kembali berkolaborasi dengan penyanyi dan komposer terkenal itu menerusi lagu berjudul Terima Kasih.

Single ciptaan Aizat itu diangkat sebagai lagu tema Kempen Ramadan Raya TV3 dan TV9 2017. Ia dihasilkan berdasarkan melodi Jangan Menangis yang dilancarkan beberapa bulan lalu.

Menurut Aizat, lagu itu mengambil masa dua minggu untuk digubah semula susunan muzik dan liriknya agar sesuai dengan tema kempen anjuran stesen televisyen Media Prima Berhad itu.

“Terdapat beberapa bahagian lagu ini diubah termasuk meletakkan bahagian untuk dinyanyikan Faizal.

“Lagu ini mengajak pendengar untuk sentiasa bersyukur dan berterima kasih,” katanya.

Aizat berkata, Terima Kasih membuatkan dia teringat kembali kampung halamannya di Raub, Pahang yang terbiar selepas datuk dan neneknya meninggal dunia.

“Dulu saya selalu balik kampung. Namun, selepas datuk dan nenek meninggal dunia, rumah mereka dijaga bapa saudara.

“Bagaimanapun, kesihatan bapa saudara kini kurang mengizinkan dan dia kerap bertanya bila saya akan balik kampung,” katanya.

Disebabkan itu, penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu ini merancang menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di kampung tahun ini.

“Saya perlu pulang untuk membersihkan rumah arwah supaya dapat menyambut Aidilfitri,” katanya.

Bercerita mengenai kerjasamanya dengan Faizal, Aizat berkata, sudah lama dia mengenali penyanyi itu dan menjadi rapat selepas menyertai ekspedisi membantu rakyat Syria beberapa tahun lalu.

“Selepas mengenalinya dengan baik, barulah kami bersepakat untuk menghasilkan lagu bersama-sama,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 12:33am
d