rap

Gandingan dua selebriti

Oleh Susunan Michelle Gun

Selepas berlakon dalam musim kelima drama bersiri Bates Motel yang menamatkan siarannya bulan lalu, penyanyi Rihanna akan membintangi filem terbitan Netflix bersama pelakon Lupita Nyong’o.

Netflix mengambil keputusan untuk menggandingkan dua selebriti itu selepas gambar mereka duduk bersama di pertunjukan fesyen Miu Miu pada 2014 tular di Twitter, bulan lalu.

Tertarik dengan reaksi wajah Rihanna dan Lupita menyaksikan pertunjukan fesyen, netizen mula mereka pelbagai situasi babak filem.

Seorang netizen berpendapat, Rihanna kelihatan seperti penipu yang memperdaya lelaki berkulit putih kaya manakala Lupita seperti pakar komputer yang membantu menjayakan perancangan itu.

Status berkenaan menerima lebih 96,000 perkongsian semula di Twitter dan dua bintang itu turut menunjukkan minat terhadap idea terbabit.

Malah, ia turut menarik perhatian pengarah Ava DuVernay dan penulis Issa Rae selepas netizen mencadangkan nama dua selebriti berkenaan untuk menjadikan status terbabit sebagai inspirasi filem.

Idea itu kemudian dibentangkan kepada produksi di Pesta Filem Cannes, baru-baru ini dan Netflix berjaya ‘merebut’ projek itu.

Bagaimanapun, Netflix belum mengumumkan sama ada jalan cerita filem itu berdasarkan status berkenaan sepenuhnya.

Difahamkan filem itu dijadualkan untuk menemui penonton pada tahun depan selepas DuVernay menyiapkan penggambaran filem adaptasi novel A Wrinkle in Time yang dibintangi pelakon Gugu Mbatha-Raw, Chris Pine, Oprah Winfrey, Andre Holland dan Reese Witherspoon.

Dalam perkembangan lain, Rihanna bakal muncul dalam filem Valerian and the City of a Thousand Planets yang ditayangkan pada Julai ini diikuti sekuel Ocean’s Eight, tahun depan.

Lupita pula akan kembali beraksi sebagai Maz Kanata dalam filem baru Star Wars: The Last Jedi pada Disember ini.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 4:13am
d