rap

Hati tenang di Ipoh

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Wajah pelakon veteran, Khatijah Tan mungkin kurang mengisi kaca TV dalam tempoh kebelakangan ini dan ada yang menganggap dia sudah bersara.

Pelakon yang popular dengan watak Mak Ngah dalam sitkom Pi Pi Mai Tang Tu yang kini menetap di Ipoh sejak tiga tahun lalu sebenarnya masih ingin berlakon.

“Dalam lakonan, kita tak boleh meletakkan usia bila kita akan bersara. Ini kerana jiwa seni kita akan memberontak. Jiwa seni tiada had yang mampu menjadi penanda aras,” katanya.

Khatijah mengakui, kadang-kadang dia ingin berehat, tetapi ada ketikanya dia ingin kembali ke lokasi penggambaran.

“Saya bermula sebagai pelakon teater dan seni sudah menjadi darah daging saya. Saya suka berada di set dan menjalani penggambaran.

“Bukanlah saya mahu menjadi pelakon selama-lamanya, tetapi ada ketikanya jika sudah lama tidak berlakon, saya tetap ingin melakukannya.

“Kalau seseorang pelakon mengatakan dia sudah bersara, itu hanya kata-katanya saja. Sebenarnya dia tidak boleh meninggalkan karier itu,” katanya.

Khatijah yang kini berusia 56 tahun juga berkata, dia tidak lagi terlalu ghairah untuk mengejar dunia.

“Apabila menetap di Ipoh, saya rasa lebih seronok dan tenang. Saya pun tidak terlalu ghairah untuk mengejar dunia, tetapi banyak masa untuk melakukan perkara yang sepatutnya kita lakukan sebagai hamba-Nya,” katanya.

Sekiranya ada tawaran lakonan yang bersesuaian, dia akan berulang-alik ke Kuala Lumpur.

“Kalau tawaran itu sesuai dan kena dengan masa, saya akan terima dan akan ke Kuala Lumpur untuk menjalani penggambaran,” katanya.

Memulakan kerjaya lakonan sejak 1980-an, Khatijah juga memaklumkan ada beberapa pelakon baru yang meminta nasihatnya.

“Ada yang menghubungi saya untuk meminta nasihat serta tip lakonan. Saya nampak usaha mereka untuk meningkatkan kualiti lakonan,” katanya.

Selain itu, dia juga memuji usaha beberapa pihak seperti mewujudkan bengkel serta kelas lakonan.

“Bengkel seperti Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) patut dipuji kerana sedikit sebanyak dapat membantu bakat baru mengasah kemampuan mereka dalam lakonan,” katanya.

Terbaru, Khatijah kini membintangi drama bersiri Ketupat Rendang Brownies Coklat di samping beberapa nama besar antaranya Rita Rudaini dan Rashidi Ishak.

“Drama yang akan ditayangkan pada Ramadan ini adalah drama yang ringan, tetapi diadun dengan rencah yang boleh dikatakan lengkap.

“Ada lucu, ada saat yang sedih dan ada ketegangan dalam drama ini. Apa yang boleh saya katakan, ia sesuai untuk ditonton seisi keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 4:20am
d