rap

Dapat kepercayaan orang Korea

Oleh Syanty Octavia Amry

Gembira buku hasil tulisannya berjaya menembusi pasaran luar negara, penulis buku kanak-kanak tempatan, Maslina Yusoff berjaya mendapat kepercayaan orang Korea apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan salah satu studio terkemuka di Korea Selatan, H Culture.

Menerusi MoU itu, buku Maslina berjudul Mila akan diadaptasi kepada siri animasi 52 episod untuk pasaran antarabangsa.

Memorandum itu ditandatangani, baru-baru ini pada edisi ke-10 Pusat Dagangan Hak Cipta Kuala Lumpur (KLTCC), satu platform untuk memperkasakan industri penerbitan dan pelesenan ASEAN melalui perdagangan harta intelek (IP) dan penumpuan digital anjuran Perbadanan Kota Buku.

Kerjasama itu adalah kisah kejayaan bagi KLTCC kerana Maslina bertemu dengan Presiden dan Pengarah Animasi H Culture, Sukhwa Hong di KLTCC 2015 selepas bukunya diterjemah dan diterbitkan di China pada 2014, sebelum ia diterbitkan di Malaysia oleh Fazamas Books dan Buku Prima serta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mila yang kini mempunyai sembilan siri menceritakan mengenai kehidupan seorang gadis kecil bernama Mila dengan rambut kerinting yang diilhamkan daripada anak Maslina sendiri.

Bagi siri animasi pula, Maslina bakal mengembangkan watak dalam dunia Mila dan dia bertindak sebagai penulis skrip.

Selain itu, H Culture bakal mengeluarkan sedutan berdurasi dua minit untuk siri animasi berkenaan pada September ini untuk dipratontonkan kepada bakal pembeli media di Perancis, United Kingdom dan Poland yang berminat.

Pembangunan siri animasi ini dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan ia disiarkan dalam Bahasa Inggeris. Selain membangunkan siri animasi itu, H Culture juga menjadi agensi tunggal bagi memasarkan animasi Mila di peringkat global.

“Saya benar-benar teruja melihat Mila ‘hidup’ melalui siri animasi ini dan saya terharu apabila watak yang dicipta mendapat perhatian daripada studio antarabangsa,” kata Maslina.

Sementara itu, Sukhwa berkata, dia jatuh hati dengan watak Mila kerana ia bukan saja seorang yang unik, tetapi menceritakan sebuah kisah mencuit hati yang pasti menyentuh hati penonton.

Apa yang menarik, siri buku Mila turut tersenarai dalam carta Top 50 di Amazon China.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 1:02am
d