rap

Aksi Kiko memukau

Oleh Payatt

Bagi peminat muzik metal tempatan, konsert sulung Megadeth di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 4 Mei lalu masih lagi menjadi topik perbualan.

Selain kehebatan Dave Mustaine selaku pengasas dan penyanyi Megadeth, pemain gitar mereka, Kiko Loureiro turut menjadi tumpuan.

Kiko, 45, yang mula menyertai Megadeth pada 2015 menggantikan Chris Broderick berjaya mencuri tumpuan dengan aksi bertenaganya selain teknik permainan serta solo gitar mengagumkan.

Malah, ramai menyifatkan pemain gitar asal Brazil itu berjaya meletakkan namanya sebaris bekas pemain gitar Megadeth paling popular iaitu Marty Friedman.

“Saya bermula sebagai peminat Megadeth. Album Rust In Peace yang menampilkan Friedman adalah album Megadeth yang paling saya suka,” katanya ketika ditemu bual Bling!

Kiko berkata, kali pertama dia menonton persembahan Megadeth di konsert Rock In Rio di Rio de Janeiro, Brazil pada 1991.

“Friedman antara pemain gitar idola saya. Siapa sangka saya antara individu yang akhirnya mengisi tempat Friedman dalam Megadeth,” katanya yang turut meminati Eddie Van Halen, Jimmy Page, Jimi Hendrix dan Randy Rhoads.

Kiko berkata, pertama kali mengadakan persembahan bersama Megadeth pada 2015, dia dapat merasakan pengalaman luar biasa.

“Apabila berada di atas pentas dan melihat ke arah penonton, saya dapat melihat diri saya. Satu ketika dulu, saya berada di situ menjerit dan melambai-lambai ke arah Megadeth.

“Pengalaman menjadi peminat Megadeth sebenarnya banyak membantu saya membuat persembahan dengan mereka. Ini kerana saya tahu apa yang peminat mahukan,” katanya.

Selepas Mustaine meninggalkan Metallica pada 1983 dan menubuhkan Megadeth, hingga hari ini peminat masih membandingkan kehebatan dua band thrash metal itu.

Ramai yang menyifatkan Metallica kini lebih komersial dan Megadeth dikatakan masih kekal dengan semangat dan tradisi thrash metal.

Ditanya mengenai perkara itu, Kiko berkata, dia tidak layak menjawabnya, namun bersetuju Megadeth masih kekal dengan akar muzik mereka.

“Muzik Megadeth lebih bermelodi dan segar. Selain memiliki pemuzik dan lagu yang hebat, Megadeth masih kekal dengan ‘attitude’. Itulah konsepnya sejak dulu,” katanya.

Ketika berkunjung ke negara ini, Kiko turut mengadakan klinik gitar eksklusif untuk 60 peminatnya di Bentley Music, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Dalam klinik gitar yang berlangsung dua jam itu, Kiko berkongsi teknik permainan gitarnya, selain turut menjawab soalan peminat yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemain gitar.

Selain Megadeth, Kiko turut dikenali dengan band Angra yang memainkan muzik power metal dan progresif metal sejak 1991.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 1:09am
d