rap

Amaran keras Elvina

Kecoh seketika apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi berita mengenai beberapa pramugari ditangkap dengan menggunakan gambar orang tidak berkenaan.

Cik Pang difahamkan, satu laman sosial memuat naik semula berita yang disiarkan media dengan menggunakan gambar seorang mangsa bersama beberapa orang lagi temannya.

Hendak jadi cerita, turut terselit dalam gambar yang digunakan itu ialah pelakon baru semakin mencipta nama, Elvina Mohamad.

Disebabkan perkara itu juga, ramai yang salah anggap. Maklum saja, kebanyakan orang malas membaca, sekadar lihat tajuk utama berita dan gambar, sudah cukup untuk mereka mengulas.

Apabila ulasan semakin panjang dan ada yang menjadi ‘nasi tambah’, berita bertukar kononnya pelakon utama drama bersiri Shhh...I Love You itu juga antara enam yang ditangkap.

Sewaktu berita itu disiarkan, kebetulan Elvina berada di Bangkok, Thailand kerana urusan kerja.

Katanya, dia terkejut apabila ramai yang menghantar keratan laman sosial menggunakan gambar terbabit kepadanya dan bertanyakan kesahihan berita disiarkan.

Elvina juga terkejut dengan komen umum menyebabkan dia menjadi keliru.

Katanya, dia tidak tahu apa motif sebenar laman sosial itu memuat naik semula berita yang diambil daripada media tempatan dan menggunakan gambarnya bersama tertuduh. Dia percaya gambar itu diceduk daripada laman Instagram tertuduh.

Mengenai gambar terbabit, Elvina percaya tertuduh dan temannya pernah terserempak dengannya dan mungkin kerana mengetahui dia pelakon, tertuduh meminta untuk merakamkan gambar bersama.

Kata Elvina, dia memang tidak mengenali tertuduh sama sekali tetapi mengingati gambar itu dirakam sewaktu dia sedang menikmati makan malam di sebuah restoran makanan Arab di ibu kota.

Bimbang perkara itu akan memberi implikasi buruk kepada kerjaya seninya, Elvina merujuk perkara itu kepada pihak pengurusannya, Mind Order dan setakat ini peguam syarikat pengurusan sedang memantau isu yang dibangkitkan.

Katanya, jika perkara itu memberi kesan buruk kepada kerjaya seninya, pengurusannya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab.

Elvina juga dapat tahu teman tertuduh yang berada dalam gambar itu turut menjadi mangsa apabila mereka tidak berbabit sama sekali.

Mereka turut memberi amaran kepada pihak yang menyiar dan menggunakan gambar itu di laman sosial mereka dan membawa turun berita yang dimuat naik. Jika tidak, mereka juga mahu mengambil tindakan undang-undang.

Tegas Elvina, tindakan itu dilakukan supaya apa yang berlaku kepada dirinya dan juga rakan tertuduh menjadi pengajaran pada masa akan datang.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 1:38am
d