rap

Sasqia amal jus sayuran

Oleh Norhayati Nordin

Kalau dikira dari segi pakej, pelakon Sasqia Dahuri, 32, sudah lengkap merangkumi tinggi dan cantik, tidak perlu bimbang untuk berbelanja lebih untuk perubahan imej.

Bagaimanapun sebagai wanita dan selebriti, Sasqia akui harus peka dengan penjagaan kesihatan.

Bukan hanya pemakanan, Sasqia atau Nurlisasqia Ahmad Dahuri juga memberi penekanan kepada penjagaan wajah.

Berbicara mengenai tip kesihatannya, Sasqia mengamalkan makanan berkhasiat dengan minum jus sayur-sayuran.

Katanya, dia suka makan apatah lagi kalau dihidangkan nasi kerabu dan nasi dagang. Namun untuk menjaga penampilan, dia utamakan senaman dan bersukan.

“Kalau suka makan tapi malas bersukan memang sangat bahaya dan saya paling suka bermain badminton. Ada masa lapang, saya akan berhubung dengan beberapa rakan untuk mengajak mereka bermain badminton.

“Saya juga suka main bola jaring dan bola tampar. Pada saya, untuk menjaga kesihatan semestinya bersukan aktiviti sangat sihat. Jadi, saya memang suka bersukan,” katanya.

Mengenai minuman jus sayur-sayuran yang diamalkan, pelakon drama Misteri Wan Peah ini akui sudah mencubanya sejak tahun lalu.

Katanya, ia mudah disediakan dan paling penting kesannya memang bagus kerana berasa kenyang dan jarang lapar.

“Saya mendapatkan bekalan jus sayur-sayuran ini daripada seorang rakan. Terus-terang, jusnya memang sedap. Apapun, jus ini perlu diambil lima botol sehari dan saya juga harus komited minum mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Turut berkongsi penjagaan kecantikan, Sasqia akan pastikan mencuci muka untuk tanggalkan mekap sebelum tidur. Selain itu dia kurangkan makanan berminyak dan banyak minum air suam.

“Pada saya, minum banyak air bagus untuk kulit. Apapun, saya juga pastikan kulit dijaga dengan kombinasi penggunaan produk seperti pembersih muka, penyegar, serum, pelembab dan krim pelindung sinaran cahaya matahari,” katanya.

Mengenai fesyen, Sasqia yang memiliki ketinggian 176 sentimeter tiada masalah untuk mendapatkan pakaian sesuai.

Katanya, soal pakaian dia tidak terlalu cerewet kerana gemarkan pilihan ringkas. Apa yang utama baginya ialah keselesaan.

“Saya kalau urusan pakaian, biasalah akan pilih yang selesa. Apabila selesa, semestinya pakaian itu sesuai. Manakala soal jenama pula selalunya saya gunakan yang sudah biasa. Jadi, untuk gaya dan penampilan saya tiada masalah,” katanya.

Sasqia juga bersyukur kerana karier lakonannya berjalan dengan baik dan tawaran diterima tidak putus. Dia akan muncul dengan beberapa drama dan telefilem istimewa yang akan disiarkan sempena Aidilfitri nanti.

Antaranya Ops Cinta Din Sardin sebanyak 20 episod untuk TV9.

Sasqia juga membintangi drama 13 episod, Jurnal Suraya mengenai perjuangan hidup pesakit kanser. Manakala dua telefilem Aldilfitri pula ialah Abang Bomba I Love You Nak Balik Raya dan Pergilah Cinta.

Sempena Ramadan ini, jadual Sasqia sibuk dengan aktiviti promosi produk jenama pakaian dan perniagaannya hingga ke Singapura dan Brunei.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 1:39am
d