rap

Buka mata kerana Erma

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Kerjaya lakonan Aaron Aziz, 41, bermula di tanah airnya di Singapura pada 2004, sebelum melebarkan sayapnya ke negara ini.

Ia bermula dengan peluang bekerja dengan pengarah Erma Fatima menerusi drama Summaiyah diikuti Haryati 2 seterusnya membawa kejayaan besar kepada Aaron, lantas mengubah dirinya dalam melihat industri seni tempatan dan dunia lakonan yang diceburi pada sudut berbeza.

Bagaimanapun, dua karya itu tidak memberi impak besar dalam kerjaya seninya di sini sebaliknya nama Aaron mula menjadi sebutan apabila usianya mencecah 31 tahun.

Disebabkan itu juga, apabila ditanya siapa insan seni di tanah kelahirannya mahupun di Malaysia yang dijadikan sumber inspirasi, dengan pantas Aaron atau Aaron Mustapha Aziz menjawab Erma.

Ternyata Erma yang pernah dipilih Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7, menjadi insan penting dalam hidupnya.

Pertemuan pertama mereka sewaktu Aaron dan Erma menjadi juri Pesta Perdana 2002 di Singapura, membuka laluan luas buatnya untuk mengembangkan kerjaya lakonan di sini.

Ditemui baru-baru ini, Aaron akui sewaktu menjayakan karya arahan Erma sama ada dalam drama bersiri mahupun teater, banyak perkara baru yang dipelajarinya.

Katanya, sejak itu dia mula memandang serius terhadap kerjaya lakonan.

“Saya mengagumi setiap skrip yang dihasilkan Erma. Bagi saya dia orang yang bijak. Tidak mudah menghasilkan skrip bagus kerana memerlukan pemikiran sangat kreatif dan penuh ketelitian.

“Sepanjang mengenali Erma, saya nampak dia hanya akan buat kerja yang dia suka dan percaya. Cerita ditampilkan juga selalunya mempunyai maksud tersendiri. Penonton harus pandai membaca apa yang cuba disampaikan,” katanya.

Sebagai pelakon dan pengarah, Aaron lihat Erma bersungguh-sungguh dengan apa yang diusahakan dan mengharapkan orang keliling turut melakukan perkara sama.

Kata Aaron, ketelitian sangat penting dalam berkarya bagi memastikan drama atau filem dihasilkan itu nampak sempurna.

“Untuk itu, Erma banyak melakukan penyelidikan terhadap satu-satu isu mahupun jalan cerita yang mahu digarap dan dipersembahkan.

“Sepanjang berlakon bawah arahannya, tidak ada satupun watak yang diwujudkan dalam cerita yang diarahkan itu dipandang mudah. Dialog yang ditulis dan disebutkan pelakon juga diberi penekanan oleh Erma.

“Menerusinya juga, saya belajar bahawa pelakon harus menyampaikan setiap dialog dengan penuh penghayatan agar maksud atau rasa ditampilkan dalam skrip dan jalan cerita akan sampai kepada penonton,” katanya.

Nama Aaron Aziz mula dikenali umum menerusi drama bersiri Emil Emilda dan filem Revolusi KL Drift. Walaupun sebelum datang ke Malaysia, dia terlebih dulu berlakon di Singapura, Aaron akui Erma banyak mendidiknya.

“Dari situ saya faham menjadi pelakon bukan mahu mencari populariti semata-mata. Ia juga karier yang harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan bukan sekadar hobi.

“Saya menghormati pendiriannya dalam mempertahankan karya yang dihasilkan. Malah kalau dia tidak yakin atau percaya dengan satu-satu naskhah, bayarlah dia sebanyak mana pun dia tetap dengan pendiriannya.

“Erma karyawan yang berkarya atas seni dan bukan mengejar wang ringgit. Perkara itu paling saya ingat apabila menyebut nama Erma Fatima,” katanya.

Selepas mengukir nama di Malaysia sebagai pelakon dan kini menjadi penduduk tetap Malaysia, bintang Ombak Rindu itu mengikut jejak Erma bergelar pengarah.

Bermula dengan filem Romeo Kota yang ditayangkan di pawagam awal 2015. Walaupun sambutan terhadap filem itu kurang memberangsangkan, ia tidak mematahkan semangat Aaron untuk tampil dengan filem kedua arahannya.

Jika filem pertama diterbitkan Excellent Pictures, kali ini filem Sayu Yang Syukur (SYS) terbitan Nusan Bakti Corporation Sdn Bhd. Ia bakal ditayangkan tahun ini menggandingkan Aaron bersama Nora Danish.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 1:39am
d