rap

Dilamar produk antarabangsa

Oleh Nor Akmar Samudin

Pembabitan Ainin Batrisya Iskandar Zulkarnain, 8, dalam dunia peragaan dan lakonan tanpa sengaja apabila ibunya, Norasidah Baharuddin, 41, yang berniaga tudung kanak-kanak menggunakan si kecil itu sebagai model.

Tanpa disangka, wajah comel Ainin yang ketika itu baru berusia tiga tahun menjadi tular dan mendapat perhatian pihak lain.

Lalu bermulalah hidup anak kecil itu sebagai model separa profesional apabila diambil berlakon dalam pelbagai iklan komersial.

Menurut Norasidah yang sentiasa menemani anaknya itu, menerusi pembabitannya dalam bidang peragaan membawa Ainin menjalani penggambaran sehingga ke luar negara termasuk di Eropah, Australia dan Singapura.

“Selain beraksi sebagai model untuk produk tempatan, Ainin juga dilamar pengeluar produk antarabangsa. Menjelang Aidifitri ini, Ainin juga dijemput beraksi di pentas peragaan menggayakan fesyen kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, Ainin juga dikurniakan bakat lakonan dan dia pernah berlakon dalam filem Harmonika, Keep It Up Selamat Hari Jadi dan Soulmate Hingga Jannah.

Bagaimanapun, Norasidah tidak pernah membiarkan gadis kecil itu leka dengan dunia glamor lantas dia sentiasa memastikan Ainin pergi ke sekolah seperti biasa, bergaul dengan kawan di sekolah tanpa meletakkan sebarang batasan diri dan pendapatannya disimpan.

“Saya tidak mengajarnya bermewah-mewah dan layanan kami sekeluarga terhadapnya sama saja seperti adik-beradiknya yang lain,” katanya.

Ainin yang juga anak ketiga daripada empat beradik memiliki darah campuran Cina, Melayu, India, Arab dan Bugis.

Mendasari jiwa si kecil itu sendiri mengenai cita-citanya apabila dia dewasa, jawapan yang terpacul dari sepasang bibir mongelnya, dia mahu menjadi cef.

“Saya suka masak dan selalu tolong ibu di dapur. Saya pandai buat jemput-jemput pisang,” katanya.

Bagaimanapun Ainin alah pada ayam, telur ayam dan semua makanan yang mempunyai bahan berasaskan telur ayam. Dia masih dalam proses rawatan untuk mengatasi masalah alahannya itu.

Menurut Norasidah, Ainin sebenarnya belum tahu apa itu peragaan dan sebagai kanak-kanak dia suka apabila dapat pakai baju cantik dan bersolek.

“Dia suka apa yang dia buat, dapat berjalan dan berbaju cantik, tetapi dia belum benar-benar faham apa yang dilakukannya.

“Apabila ada yang mengenalinya, dia hairan kenapa orang menegurnya. Saya dan bapanya tidak akan halang minat dan cita-citanya apabila dia besar nanti asalkan dia gembira serta jalan yang dipilih memberi kebaikan kepadanya,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 12:01am
d