rap

Hasil siswa beri kepuasan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Melihatkan naskhah yang dipentaskan, tidak hairanlah pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan.

Ia projek pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama) Universiti Malaya.

Mungkin kerana sudah biasa melihat karya Hamka ini dipentaskan di lokasi gah seperti di Istana Budaya dengan menampilkan bintang popular maka khalayak mahukan kelainan dengan menyaksikan persembahan dibarisi penuntut universiti pula.

Panel penilai dalaman terdiri daripada Dr Rosdeen Subuh (lakonan), Dr Marlenny Deenerwan (pengarahan) dan Dr Indra Utama (pengurusan).

Tidak perlu dihuraikan secara mendalam jalan cerita Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck kerana penggemarnya sudah menghafal setiap dialog, penceritaan dan kesudahannya.

Yang perlu diperhatikan dan dinilai ialah keupayaan Afiqah Harun, penuntut yang dinilai dalam pengkhususan lakonan dalam produksi ini yang melakonkan watak Hayati.

Dia turut dibantu oleh penuntut jurusan teater berpengalaman Farhan Kamal sebagai Zainuddin.

Cukup hanya menampilkan pentas yang ringkas, fokus penonton sememangnya terarah kepada setiap babak dan lakonan setiap pelakon.

Afiqah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Lontaran dialog disulami intonasi yang kena dengan setiap babak ternyata berupaya menguak emosi penonton.

Sementara itu, Farhan dan beberapa pelakon lain hanya bertindak sebagai teman lakon bagi pementasan ini.

Keserasian dua watak utama dan pelakon tambahan lain ternyata memantapkan persembahan ini.

Bahkan, mereka wajar dipuji kerana berjaya mengimbangi lakonan dalam kesukaran menuturkan dialek bahasa Indonesia sepanjang pementasan.

Tanpa sebarang props di atas pentas, pementasan ini memerlukan penonton membayangkan sendiri konti setiap babak dari awal sehingga akhir.

Kadang-kadang penonton turut dibuai emosi terutama menerusi babak suami Hayati, Aziz pulang dalam keadaan mabuk dan menderanya apabila melihat isterinya membaca buku tulisan Zainuddin.

Pemilihan lagu latar sesuai juga mampu merentap emosi penonton yang larut dalam cerita ini termasuk ketika babak pengakhiran yang menyaksikan kematian tragis Hayati apabila kapal Van Der Wijck dinaiki karam di Tanjung Priok dalam perjalanan ke Jakarta.

Kesimpulannya teater arahan Rashid Shikh Abdullah yang menampilkan lebih 20 pelakon terdiri daripada penuntut pelbagai fakulti UM ini wajar dipuji.

Biarpun pementasannya berskala dan bajet kecil, jiwa pelakon dan tenaga produksi adalah besar.

Afiqah, 22, ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana pementasan berjalan lancar seperti dirancang.

“Saya tak sempat menonton teater ini di Istana Budaya dan hanya membaca novel dan menonton filem ini. Untuk membawa cerita ini bukan senang. Ia mencabar diri saya untuk bawa watak penuh emosi.

“Sepanjang pementasan, saya dapat banyak sokongan moral daripada pengarah, pelakon lain dan pasukan produksi sendiri,” katanya.

Dr Marlenny memuji persembahan produksi serta pelakon kerana menepati matlamat yang dimahukan.

“Sebagai sebuah karya pelajar, pementasan ini berhasil mencapai maksud untuk penilaian pelajar dari aspek lakonan,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 4:15am
d