rap

Tampil selepas 18 tahun menyepi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Hampir 18 tahun menyepi, penyanyi Harmira Yusof, 35, kini tampil dengan single terbaru berjudul Ku Idam Cinta.

Barangkali peminat generasi baru tidak mengenali nama ini. Harmira adalah finalis pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3 yang popular pada pertengahan tahun 1990-an.

Dia dan beberapa finalis wanita lain dikumpulkan dan menghasilkan album kompilasi Puteri-Puteri Sinaran pada 1998 dan Puteri-Puteri Sinaran 2 pada 1999.

Menerusi album pertama, Harmira menyanyikan dua lagu iaitu Tanda Harga Cinta ciptaan Azmeer yang masih diminati sehingga kini dan Satu Fenomena Cinta.

Untuk album kedua pula, dia menyanyikan lagu Ranting Berduri Menikam Hati ciptaan Azmeer dan Kekasihku ciptaan Aznul Haidi.

Harmira yang kini ingin dikenali sebagai Miera Yusof berkata, dia tidak pernah mengucapkan selamat tinggal terhadap nyanyian kerana meneruskan kerjaya menyanyi di lounge di Kuala Lumpur, Sarawak dan pelbagai lokasi lain.

Miera berkata, Ku Idam Cinta dihasilkan sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan sekolah muziknya selain menggilap semula namanya dalam seni.

“Lagu ini ciptaan komposer baru, Faizal Sulaiman dan lirik oleh Fatin Syahida. Dia memberikan tiga lagu untuk dipilih dan Ku Idam Cinta dirasakan sesuai dengan cita rasa saya.

“Keseluruhan kos untuk lagu ini termasuk video muzik berjumlah RM15,000 dikeluarkan saya sendiri. Saya tak kisah berbelanja asalkan peminat dapat kenal siapa saya,” katanya.

Miera yang masih berhubungan dengan rakan lama daripada album Puteri-Puteri Sinaran mengakui tidak kecewa sekiranya sambutan terhadap single ini perlahan. Malah, dia bercadang menghasilkan single lain selepas ini.

“Saya tak putus asa kerana peminat sudah kenal saya menerusi lagu Tanda Harga Cinta. Insya-Allah hujung tahun ini saya anjurkan konsert bersama kanak-kanak di pantai timur,” katanya yang bertanggungjawab memperkenal Balqis dalam Mentor Milenia 2017, baru-baru ini dan layak ke separuh akhir.

Minat terhadap nyanyian yang tidak pernah padam mendorong Miera membuka sekolah muziknya sendiri iaitu Maya Abaya Miera School di Kemaman, Terengganu sejak awal tahun ini.

“Saya sendiri mengajar vokal manakala kelas dram dan piano oleh tenaga pengajar lain,” katanya.

Selain mengajar individu, Miera turut menjalin kerjasama dengan sekolah rendah di sekitar Terengganu untuk mengajar vokal.

“Sekolah muzik saya serba lengkap dan mempunyai studio rakaman. Saya buat ini kerana bertujuan mencungkil bakat baru dalam seni.

“Setiap pelajar diberi pembelajaran untuk tempoh enam bulan dan dicadangkan melanjutkan lagi tempoh belajar sekiranya mempunyai potensi yang baik,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 4:23am
d