rap

Sentuhan Hatta, Aina Serikan Aidilfitri

Oleh Norhadiani Baharom

Minggu ini dua lagi koleksi fesyen lebaran yang cukup istimewa menjadi pilihan BLING!

Pertamanya adalah fesyen hasil sentuhan pereka yang tidak perlu diperkenalkan lagi - Hatta Dolmat manakala satu lagi hasil sentuhan pereka fesyen muda, Aina Hariz.

Koleksi lebaran Hatta Dolmat, Em’bloom Raya Luxe 2017 by Hatta Dolmat adalah koleksi raya eksklusif berinspirasikan taman ‘vintage’ Inggeris.

Ia istimewa kerana fabrik dan reka corak pada rekaan dalam koleksi ini ciptaan Hatta sendiri.

Rekaan taman ‘vintage’ Inggeris di satukan dalam ilustrasi lukisan tangan yang menterjemahkan elemen flora dan fauna seperti kumbang, rama rama, burung, bunga-bungaan serta paku pakis. Ini juga kesinambungan daripada koleksi Hatta sebelum ini seperti Decade yang menjadikan kumbang sebagai motifnya sehingga kini.

Warna yang dipilih untuk koleksi ini bersesuaian dengan konsep Inggeris lama. Hatta menyuntik warna ‘blush’, merah, fuschia, biru gelap dan hijau zamrud sebagai warna di samping pengunaan fabrik seperti ‘creepe dan ‘organdy’.

Tekstur serta teknik yang diguna pakai untuk menaikan seri koleksi ini pula adalah minimal kerana dia tidak mahu reka corak fabrik tenggelam dek teknik perincian yang berlebihan.

Untuk melihat lebih banyak koleksi Embloom Raya Luxe 2017 by Hatta Dolmat itu, orang ramai boleh ke Facebook Hattadolmat.hdc dan Instagram hattadolmat_ dan Hattadolmatofficial.

Beralih kepada koleksi Aina Hariz pula, ia sebuah koleksi yang membawakan ciri cukup glamor.

Pada pertunjukan peragaan Koleksi Lebaran Demure Raya Modvier 2017, baru-baru ini, Aina Hariz membuka mata ramai orang dengan koleksinya yang nampak menarik itu.

Banyak bermain dengan warna pastel, lembut sehingga gelap seperti ‘midnight blue’, sebahagian besar koleksi Aina menampilkan ciri potongan dramatik, namun ia masih praktikal. Ia sangat sesuai digayakan di mana saja sama ada ketika beraya di kampung atau ke majlis rumah terbuka raya kelak.

Untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai koleksi raya rekaan Aina Hariz ini, penggemar fesyen bolehlah layari Instagram Aina Hariz iaitu @ainahariz atau @modvier.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 3:58am
d