rap

Fadly nak jaga ibu

Oleh Payatt

Siapa sangka, penyanyi band pop rock popular Indonesia, Padi iaitu Fadly, 42, akhirnya membuat keputusan berhijrah ke kampung halamannya di Sulawesi Selatan.

Niat Fadly yang juga penyanyi band Musikimia itu cukup murni. Dia mahu menjaga ibunya yang kini tinggal bersendirian di kampung, malah Fadly juga mahu membawa bersama isteri dan anaknya berpindah serta menjalani kehidupan sederhana di sana.

“Paling lambat mungkin dalam tempoh dua tahun lagi.

“Saya mahu dekat dengan ibu dan jalani hidup sederhana. Saya juga mahu fokus kepada perkara membabitkan iman,” katanya.

Fadly berkata, sejak tamat sekolah dia sudah meninggalkan ibunya dan menetap di Jakarta.

“Sudah 27 tahun saya meninggalkan kampung. Itu waktu yang cukup lama. Saya masih seorang anak dan ingin berbakti kepada ibu,” katanya.

Fadly atau nama sebenarnya Andi Fadly Ariduddin berkata, dia sudah puas menikmati hal dunia terutama populariti dan keseronokan bersama Padi.

Menurut bapa kepada empat anak ini, keluarganya juga sudah bersiap sedia untuk menjalani kehidupan lebih sederhana selepas ini.

“Saya sudah puas dengan urusan dunia. Saya jelaskan kepada anak, jangan jatuh cinta dengan dunia kerana ia ibarat janda tua. Semua yang jatuh cinta dengannya pasti akan mati dan dia akan menjadi janda lagi.

“Dunia ini umpama pokok. Kita singgah sebentar, tidur dan selepas itu pergi. Ini yang saya tekankan kepada anak,” katanya.

Menurut Fadly, dia bersama isteri turut merancang menubuhkan sekolah di kampungnya nanti.

Walaupun merancang meninggalkan Jakarta, Fadly tetap akan terus berkarya dalam industri muzik Indonesia.

“Saya takkan bersara kerana muzik adalah platform untuk saya menyampaikan mesej. Saya tetap akan meneruskan kerjaya nyanyian selepas ini,” katanya yang baru menghasilkan Album Kompilasi Religi Terbaik, baru-baru ini.

Album terbitan Jagonya Music & Sport Indonesia dan DNA Production itu turut menampilkan penyanyi kerohanian popular luar negara seperti Maher Zain, Harris J dan Raef.

Padi bakal kembali

Tahun 2007 adalah kali terakhir Padi menghasilkan album berjudul Tak Hanya Diam. Selepas itu band yang turut dianggotai Piyu (gitar), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) ini terus menyepi daripada industri muzik Indoenesia.

Cuma pada 2011 mereka tampil dengan album The Singles pada 2011 yang menghimpunkan 28 lagu yang pernah menjadi single mereka.

“Doakan saja. Buat masa ini saya belum boleh menceritakan lebih lanjut,” kata Fadly.

Fadly turut mengakui mereka berlima semakin kerap berjumpa sejak akhir-akhir ini , namun belum lagi mengadakan sebarang latihan muzik.

“Rindu antara sebab membuatkan Padi perlu bersatu kembali. Bukan saja kerinduan daripada peminat, tetapi juga orang tua kami yang kerap bertanya kenapa kami tidak lagi main muzik bersama.

Ketika Padi ‘berehat’, Piyu meneruskan kerjaya solonya, manakala Fadly, Rindra dan Yoyo menubuhkan Musikimia pada 2012.

Walaupun Musikimia turut berjaya menawan peminat muzik Indonesia, Padi tetap menjadi ‘rumah’ buat Fadly.

Padi yang ditubuhkan pada 1997 di Surabaya diangkat sebagai antara band terbaik di Indonesia pada 1990-an dan awal 2000.

Vokal hebat Fadly bersama Piyu selaku ‘mastermind’ band ini berjaya menjadikan Padi sebaris dengan band tersohor Indonesia seperti Slank, Dewa19, Sheila On 7, Gigi dan Naif.

Selain Tak Hanya Diam, Padi turut menghasilkan tiga lagi album iaitu Lain Dunia pada 1999, Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003) dan Padi (2005).

Mereka yang banyak dipengaruhi muzik daripada U2 dan Radiohead popular dengan lagu seperti Menanti Sebuah Jawaban, Kasih Tak Sampai, Mahadewi, Semua Tak Sama dan Tak Hanya Diam.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 4:04am
d