rap

Muahciked: Selesai 114 hari penggambaran

Oleh Ayda Jebat

Selamat berpuasa dan salam Ahad. Buat apa tu? Jangan asyik tenung jam di dinding saja, biarkanlah jam itu terus berdetak.

Sabar ya semua. Inikan antara cara mengajar kita erti sabar. Bayangkanlah mereka yang terpaksa menahan lapar dan dahaga bukan sahaja di bulan Ramadan malah setiap hari.

Apapun, Alhamdullilah adik bersyukur kerana selesai sudah pengambaran drama Ku Kirim Cinta.

Selama 114 hari adik bersama pelakon lain dan kru produksi bekerja gigih untuk menyiapkan penggambarannya.

Akhirnya pada 2 Jun lalu semua selesai sepenuhnya. Memang penat dan mencabar. Hampir setiap hari kami melakukan penggambaran dan dalam sehari memakan masa lebih 12 jam.

Cuaca panas, hujan dan ribut menjadi perkara biasa yang perlu kami tempuhi. Malah jam 2 atau 3 pagi bukanlah masa tidur kami.

Bagi adik, setiap yang dilakukan untuk menyempurnakan perjalanan sesuatu penggambaran itu amat mencabar.

Setiap penggambaran mempunyai pengalaman berbeza. Walaupun matlamat sama tetapi yang mengemudi karya itu kebiasannya individu berbeza.

Belum lagi diambil kira faktor seperti tempat, jarak dan suasana lokasi juga berbeza bagi setiap penggambaran.

Antara sebab inilah adik jatuh cinta dalam bidang lakonan. Lagipun untuk berjaya dalam melakukan sesuatu perkara itu ada rahsianya.

Rahsia adik sebagai pelakon adalah mencintai bidang kerja yang dilakukan ini. Umpama cintaku pada dirimu.

Apapun, adik ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan produksi Sephirre Screen yang banyak meringan dan memudahkan penggambaran.

Daripada penerbit, pengarah, penolong pengarah, pengurus produksi, pembantu produksi hingga ke pasukan teknikal seperti jurukamera, penata cahaya, jurusolek, penata bunyi dan semua yang terbabit, terima kasih.

Tidak lupa juga kepada semua penaja lokasi, pakaian, makanan dan semuanya yang banyak membantu.

Tengoklah, ramai tak pasukan produksi terbabit untuk sesuatu drama? Mestilah ramaikan kerana menghasilkan drama bukan mudah.

Apatah lagi bekerja dalam satu pasukan yang besar dalam tempoh agak lama membuatkan adik serta kru produksi jadi lebih rapat seperti keluarga.

Walaupun selesai sudah urusan penggambaraan, kami tetap berhubung dan bertanya khabar masing-masing.

Minggu ini, adik terasa seperti menulis karangan pengalaman manis ketika menyiapkan penggambaran drama.

Sesuailah dengan kehadiran bulan puasa ini serta kempen sepanjang Ramadan dan Syawal yang adik terbabit.

Nampaknya tahun ini adik bersama duta lain berganding bahu untuk TV3 demi kempen #terimakasih.

Banyak juga aktiviti sepanjang Ramadan ini sudah dan akan dijalankan. Baru-baru ini semestinya aktiviti #JomMasjid di Temerloh, Pahang.

Adik hadir di sana bersama duta lain seperti Elfira Loy, Aizat Amdan, Faizal Tahir dan hero drama Ku Kirim Cinta, Redza Rosli.

Bagi yang nak turut serta bersama adik dan duta lain dalam kempen #TerimaKasih ke lokasi bazar Ramadan terpilih boleh melayari laman sesawang TV3 atau kunjungi laman media sosial adik.

Apapun, adik hendak terus ingatkan anda di rumah supaya jangan lupa menonton drama Ku Kirim Cinta setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.58 petang di TV3. #Terimakasih

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:03am
d