rap

Rai anak yatim, ibu tunggal

Oleh Nor Akmar Samudin

Kali ketiga program Muzik-Muzik mengadakan acara berbuka puasa dengan mereka yang kurang bernasib baik, namun Ramadan tahun ini ia lebih besar apabila mendapat kerjasama dan tajaan daripada Marriot Putrajaya.

Indigital Sdn Bh turut terbabit dalam memeriahkan lagi acara pada majlis berbuka itu.

Menurut penerbit program itu, Zamzuri’Ayau Zaini, acara berbuka puasa tahun ini lebih meriah apabila pihak hotel menjemput anak yatim dari Rumah Keluarga Kami dan Anak-Anak Yaim Warga JPA dan ibu tunggal dari Pertubuhan Wanita Bekerja Sendiri.

Acara itu turut dirakamkan dan disiarkan di TV3 pada 26 Jun ini pada jam 11 malam.

“Alhamdulillah, acara berbuka yang diadakan kali ketiga ini lebih besar yang bertujuan bukan saja untuk mengadakan rakaman khas Muzik Muzik Raya 2017 malah untuk menghargai mereka yang kurang bernasib baik. Di samping kita bergembira untuk menyambut Aidilfitri, anak yatim dan ibu tunggal jangan kita lupakan.

“Peritnya anak itu membesar tanpa belaian kasih sayang daripada ibu bapa dan saya sendiri sebak melihatkan mereka yang masih kecil belum tahu erti apa-apa. Ibu tunggal pula terpaksa bekerja keras untuk membesarkan anak mereka bersendirian.

“Lantaran pada hari mulia ini, kami turut memberi mereka sumbangan duit raya agar dapat sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka,” kata Ayau.

Muzik Muzik turut diterbitkan Aida Azira Hussin dan Penerbit Eksekutifnya, Nurhul Huda Khalid.

Pada rakaman itu ia turut menggabungkan artis baru dan lama, diacarakan oleh Sherry AlHadad, Zooey dan Hefny Saad.

Artis yang terbabit membuat persembahan pada rakaman itu, Haiza, Zarul Umbrella, kumpulan Six Sense, bekas peserta Mentor Milenia, Hakim Rusli, Dayang Nurfaizah, Aizat Amdan, Ronnie Hussein, Irfan Harris, Sandra, Mel, Sara Fazny, Wany Hasrita dan Tajul.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 12:07pm
d