rap

Gamit peminat ke Seoul

Oleh Georgie Joseph

Usaha mempromosikan Seoul, Korea Selatan sebagai destinasi percutian terkenal tidak pernah berhenti. Popular sebagai kota yang menarik, saban tahun ia menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

Terbaru, sebuah konsert percuma iaitu I.Seoul.U diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi membangkitkan lagi keterujaan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke Seoul. Konsert itu terbukti berjaya apabila dihadiri lebih 6,000 penonton.

Membariskan artis ternama naungan agensi gergasi, SM Entertainment, sambutan yang diberikan penonton sangat luar biasa apatah lagi ia percuma.

Menerusi konsert berkenaan, kumpulan wanita popular Red Velvet, Yesung dan NCT 127 tampil sebagai penghibur utama.

Pentas dibuka dengan persembahan memukau Red Velvet. Kehadiran kumpulan itu di atas pentas mendapat sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Jika sebelum ini hanya empat anggota Red Velvet pernah bertandang ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan EP mereka, kini semua anggota hadir menjayakan konsert I.Seoul.U.

“Tempoh hari, Joy tidak dapat hadir ke sini kerana terikat dengan komitmen lain. Mengotakan janji, kami kembali lagi ke Kuala Lumpur bersama Joy.

“Terima kasih di atas sokongan berterusan kalian semua. Kami berpeluang mencipta kenangan indah di sini,” kata Wendy.

Begitu lincah dan comel di pentas, kumpulan berkenaan mempersembahkan lagu hit berentak rancak serta balada. Mereka tampak cukup bersemangat apabila peminat turut sama menyanyi sepanjang persembahan itu.

Konsert kemudian diteruskan dengan persembahan NCT 127. Sebaik muncul di atas pentas, peminat wanita menjerit keriangan.

Menepati selera muzik masa kini, kumpulan itu mendendangkan lagu yang menyelitkan elemen tari elektonik (EDM) dan R&B.

Gembira dengan reaksi positif peminat, Mark mewakili rakan-rakannya mengakui seronok dapat merealisasikan impiannya bertandang ke negara ini.

“Sudah lama kami mahu berterima kasih kepada peminat di Malaysia yang menyokong kami selama ini. Akhirnya, dapat juga kita bersua muka.

“Terima kasih Malaysia! Kami berjanji akan kembali dengan konsert penuh pula selepas ini. Nantikan kehadiran kami,” kata Mark.

Usai persembahan NCT 127, pentas diserahkan pula kepada penyanyi popular Yesung.

Terkenal dengan vokal merdu, Yesung berjaya membuai emosi penonton dengan persembahan yang cukup mengagumkan.

Anggota kumpulan Super Junior yang sudah pernah menjejakkan kaki ke negara ini mengakui merindui peminatnya di sini.

“Malaysia akan sentiasa tersemat di hati Super Junior kerana kami pernah membuat penggambaran muzik video di sini. Mewakili Super Junior, saya berjanji akan kembali lagi ke sini bersama anggota kumpulan yang lain,” katanya.

Pada malam itu, kumpulan wanita tempatan De Fam turut mendapat penghormatan beraksi di konsert berkenaan. Tidak ketinggalan, penyanyi rap Altimet juga mempersembahkan dua lagu.

Terdahulu, Kerajaan Metropolitan Seoul turut membuka gerai pameran di Pavilion untuk mempromosikan kota berkenaan.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 2:08am
d