rap

'Saya tidak sangka'

Oleh Najiy Jefri

Drama bersiri Andainya Takdir yang menampilkan Shukri Yahya dan Nina Islandar menjadi perbualan hangat orang ramai.

Lebih menarik, drama yang menemui penonton TV3 sejak 29 Mei lalu itu turut mencipta magis tersendiri sehingga sering menjadi bahan ‘panas’ (trending) di Twitter.

Bersyukur dan gembira dengan maklum balas positif drama terbabit, Shukri percaya kekuatan drama itu adalah pada naratif dan pengarahannya.

“Alhamdulilah, saya bersyukur dengan sambutan yang diberikan peminat. Sejujurnya, saya tidak menyangka sambutannya begini hebat hingga menjadi trending di Twitter.

“Bukan saya menjadikan watak ini sempurna tetapi kru produksi yang bertungkus-lumus siang malam bagi memastikan ia berjaya.

“Saya amat menghargai mereka yang sentiasa menyokong. Ternyata penceritaan yang cuba disampaikan berjaya diterjemah dengan sempurna,” katanya.

Drama bersiri terbitan A Aida Production yang kini bersiaran di slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam mengisahkan ketabahan Fatihah (lakonan Nina Iskandar) mempertahankan rumah tangganya bersama Airil (Shukri Yahya) yang penuh cabaran.

Pasangan suami isteri ini mempunyai anak, Aleeya (Puteri Balqis). Kehidupan tiga beranak ini sentiasa dalam keadaan tegang kerana Airil panas baran dan cemburu buta.

Segala perbuatan Fatihah dipantau Airil dan setiap perbuatan Fatihah yang dilakukan tanpa pengetahuan Airil, dia pasti akan dipukul sehingga lebam.

Menurut Shukri, hampir setiap hari dia menerima komen peminat yang menyatakan rasa ketidakpuasan hati di laman Instagram mengenai sikap panas baran Airil yang sukar dikawal dalam drama terbabit sehingga mencederakan Fatihah.

Bercerita mengenai saingan karya berkenaan dengan beberapa drama yang turut mencetuskan fenomena, Shukri berkata populariti bukan pengukur untuk menarik perhatian penonton sebaliknya karya bermutu membolehkan sesebuah drama itu mencatat rating tinggi.

“Tidak dinafikan, penonton kini bijak menilai mutu sesebuah naskhah. Maka kehadiran pelakon kegemaran mencantikkan lagi drama terbabit supaya dapat disampaikan dengan berkesan mengikut kesesuaian watak,”katanya.

Diajak bercerita mengenai rutin hariannya sepanjang Ramadan ini, Shukri memberitahu jadualnya padat dengan aktiviti seni.

“Walaupun berpuasa saya tetap bekerja. Bagi saya, rezeki jangan ditolak. Selagi ada pihak yang percaya dengan bakat kecil yang dimiliki ini, saya akan terus berkhidmat dan menumpahkan kecintaan terhadap dunia lakonan,”katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 2:19am
d