rap

Ezzaty alah sabun

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Ramadan ini mencabar Ezzaty Abdullah, yang sedang hamil empat bulan. Isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu terpaksa berpuasa berselang-seli kerana mengalami alahan.

Menurut Ezzaty, masuk saja ke trimester kedua, dia mula mengalami beberapa alahan terutama pada Ramadan ini.

“Setiap kali selepas berbuka, saya akan muntah dan sekitar jam 11 malam, akan rasa lapar semula. Saya juga terpaksa berpuasa berselang-seli kerana kerap muntah,” katanya.

Ujar Ezzaty, antara alahan yang terpaksa dihadapinya dia tak boleh boleh bau sabun.

“Semua sabun di rumah ditukar kepada jenis yang tidak berbau. Kalau mandi dan ada bau sabun, saya akan muntah,” katanya.

Ezzaty juga bersyukur kerana anggota keluarga dan rakan terdekatnya tidak lokek untuk berkongsi tip kehamilan.

“Sebelum ini saya memang rahsiakan dulu kehamilan ini daripada semua orang kerana waktu itu kandungan masih baru tetapi selepas berita kehamilan saya disiarkan di media dan Azwan sendiri pun berkongsi mengenainya, ramai yang tampil membantu dan mendoakan,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilftri, Ezzaty dan suami hanya melakukan persediaan secara sederhana.

“Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana keadaan kandungan dan saiz perut saya selepas ini. Jadi, persiapannya lebih sederhana. Ketika menjalani ibadah umrah sebelum ini, saya ada beli jubah dan rasanya ia selesa untuk dipakai pada Aidilfitri ini,” katanya.

Pasangan suami isteri itu akan beraya di Kuala Lumpur saja kerana sejak hamil dia takut dengan ketinggian.

“Jadi kami tidak akan balik ke Sabah, beraya di Kuala Lumpur sajalah,” katanya.

Terbaru, drama lakonannya, Megat Extend sedang rancak disiarkan di saluran Astro Warna dan Mak Cun 3 pula di TV3.

Selain itu, Ezzaty juga teruja menantikan kehadiran filem lakonannya, Kau Takdirku selepas empat tahun menunggu filem itu ditayangkan.

“Tempoh empat tahun itu lama dan apabila dikhabarkan filem itu ditayangkan pada September ini, saya memang tak sabar untuk melihat filem itu di pawagam,” katanya.

Selain Ezzaty, Kau Takdirku juga turut dibintangi oleh Remy Ishak dan Bront Palarae.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 2:37am
d