rap

Bebel harmonikan rumahtangga kata Ezlynn

Oleh Syanty Octavia Amry

PENYANYI popular lagu Hi Hi Bye Bye, Ezlynn menganggap sikap ‘membebel’ dalam kalangan isteri penting untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Ezlynn, 36, yang memfailkan cerai terhadap suaminya, Adam Fahmy Shamsudin di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hujung bulan lalu berkata, sikapnya yang terlalu diam dan tidak kisah menjadi salah-satu punca rumah tangganya bermasalah.

“Sebenarnya membebel itu perlu bagi seorang wanita yang sudah berkahwin. Nasihat saya kepada semua wanita yang sudah berkahwin, jangan terlalu berdiam diri dan luahkan apa yang anda rasa," katanya.

Adam Fahmy selaku defendan bagaimanapun tidak bersetuju dengan perceraian itu.

Hakim Syarie Mohamed Hizwan Mohamed Nor memerintahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kalangan ahli keluarga pada 11 Julai ini.

Menurut Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin, buat masa ini dia masih tinggal serumah dengan Adam Fahmy tetapi keadaan mereka sudah jauh berbeza.

"Kami masih serumah tetapi jarang berjumpa. Jika bertembung hanya senyum sajalah,” katanya.

Ezlynn berkata, sebenarnya dia seorang yang tidak suka bercerita mengenai hal rumah tangga, namun demi kerjaya dia perlu keluar berdepan dengan orang ramai.

"Masalah yang berlaku bukan alasan untuk saya menjauhkan diri daripada semua orang. Kalau orang sudah bertanya saya perlu menjawabnya.

"Apa yang penting saya perlu keluar untuk melancarkan perjalanan seni saya," katanya.

Ezlynn dan Adam Fahmy mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 dan belum dikurniakan anak.

Media sebelum ini melaporkan, khabar angin mengenai keretakan mahligai pasangan terbabit mula diperkatakan sejak beberapa bulan lalu apabila Ezlynn sering dilihat tampil sendirian tanpa suaminya.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 6:20pm
d