rap

'Saya tak boleh diam saja'

Oleh Nor Akmar Samudin

Setiap kali Ramadan, pembaziran makanan menjadi isu utama di negara ini gara-gara keghairahan umat Islam membeli pelbagai juadah berbuka mengikut hawa nafsu.

Orang ramai tewas dan rambang mata melihat pelbagai makanan yang dijual di bazar Ramadan.

Dalam menikmati kemakmuran di negara ini, bayangkan umat Islam di negara dilanda peperangan seperti di Syria dan Lubnan.

Tiada makanan untuk dijamah dan khabar paling duka apabila mendengar cerita hidangan berbuka mereka hanyalah rumput yang direbus.

Perkara itu amat menyentuh hati pelakon, pelawak, pengacara dan penerbit, Afdlin Shauki, 46, lantas menerusi yayasannya sendiri iaitu Yayasan Afdlin Shauki dia bekerjasama dengan Yayasan Kubra melancarkan misi kemanusiaan iaitu Misi Bantuan Pelarian Syria di Lubnan.

Mereka sudah pun berangkat ke sana pada 10 Jun lalu.

Afdlin berkata, misi kemanusiaan itu bertujuan untuk memberi bantuan dalam bentuk kewangan, makanan dan ubat-ubatan.

“Tak sampai hati saya mendengar cerita mereka berbuka puasa dengan merebus rumput dan sebagai saudara seagama, saya tidak boleh mendiamkan diri saja lalu saya bersama Yayasan Kubra beberapa bulan lalu merancang melakukan sesuatu bagi membantu mereka.

“Walaupun sebahagian besar warga Syria itu mampu bekerja, tetapi mereka tidak dibenarkan melakukan apa-apa kerana berstatus pelarian. Oleh itu mereka hidup bergantung pada bantuan saja dan jika tiada yang membantu, bertambah susahlah hidup mereka.

“Sebab itu kutipan dana masih diteruskan walaupun selepas tamat misi kemanusiaan ini,” katanya.

Afdlin berkata, dia juga bersyukur apabila ibunya, Fadzilah Jelani dan keluarga memberikan kebenaran untuk sana.

“Sebelum ini, mereka pernah halang saya untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Yaman kerana berlaku insiden pengeboman oleh Amerika Syarikat sehari sebelum bertolak ke sana.

“Walaupun saya tidak suka fikir yang bukan-bukan, tetapi sangat menitikberatkan restu daripada ibu dan keluarga,” katanya.

Afdlin mula aktif melakukan kerja amal sejak 2012 dan pernah ke Jordan pada awal 2015.

Kepada mereka yang mahu memberi sumbangan kepada Tabung Pendidikan dan Kebajikan Yayasan Kubra melalui akaun Bank Islam 14023010012816.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 3:22am
d