rap

Menyerlah sebagai pelakon

Oleh Ramlah Zainal

Lebih sedekad dalam bidang seni, nama bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5) Nonny Nadirah Zainuddin, 28, ternyata lebih menyerlah dalam bidang lakonan.

Antara lakonannya yang memberi impak kepada penonton ialah watak antagonis dalam drama Istikharah Cinta dan Cinta Hati Abah.

Secara peribadi, pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah dan anak kelima daripada sembilan beradik itu reda dengan rezeki yang tertulis untuknya.

“Saya menceburi industri seni bukan untuk mengejar glamor sebaliknya kerana minat mendalam terhadap bidang nyanyian.

“Pada masa sama, saya juga mahu menyara keluarga di kampung. Maklumlah, saya bukan berasal daripada keluarga senang. Selepas ibu bapa berpisah, kami pernah hidup merempat dan tidur di balai raya,” katanya.

Nonny mengakui bukan mudah untuk terus bertahan dalam arena seni.

“Selepas tamat kontrak dengan pengurusan Astro, saya bergerak sendiri selama sembilan tahun.

“Persaingan dalam bidang nyanyian sangat sengit dan tawaran semakin kurang. Selepas itu saya mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan syukur rezeki tak putus sampai sekarang,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Nonny berehat seketika kerana mahu fokus pada perniagaan baju ‘street wear’.

“Saya sudah habiskan penggambaran drama sebelum Ramadan.

“Antaranya, drama bersiri Megat Extend bergandingan dengan Saharul Ridzwan yang bersiaran di saluran Astro ketika ini.

“Saya juga dapat tawaran drama bersiri 70 episod yang juga adaptasi sinetron Indonesia untuk saluran Astro selepas Aidilfitri nanti.

“Tidak ketinggalan, projek filem baru arahan pengarah terkenal yang masih dalam perbincangan,” katanya.

Mengenai perkembangan karier nyanyian pula, Nonny berkata, dia merancang muncul dengan single baru.

“Saya sudah lama simpan hasrat untuk buat single baru berentak balada.

“Selain itu, saya juga dapat tawaran bernaung di bawah satu syarikat untuk penerbitan single ini tetapi belum diputuskan lagi,” katanya.

Kekasih banyak bimbing

Beralih sisi peribadi, Nonny tidak merahsiakan dirinya sudah memiliki kekasih hati yang dikenali sejak lapan tahun lalu.

“Kami sudah lama berkawan dan saya juga sudah berkongsi gambar kami bersama di Instagram.

“Si dia orang biasa saja dan bukan VIP. Dia lelaki sederhana tetapi banyak membimbing saya menjadi insan lebih baik.

“Saya selesa berkawan dengannya kerana dia sangat memahami dan sentiasa ada terutama ketika susah.

“Saya rapat dengan ahli keluarganya di sini kerana keluarga saya jauh di Kota Kinabalu,” katanya.

Mengenai kahwin pula, kata Nonny, dia serahkan kepada ketentuan Allah SWT.

“Kalau ada jodoh dan sudah sampai seru kami akan berkahwin nanti.

“Kami ada berbincang perkara ini dan dia memahami tanggungjawab besar saya untuk bekerja dan menyara keluarga terlebih dulu sebelum melangkah ke jenjang pelamin,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 2:42am
d