rap

Adira beraya di Ranau

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Bagi pasangan sudah berkahwin, apabila tiba hari raya keputusan untuk pulang beraya di kampung suami mahupun isteri sering menjadi isu.

Andai ia menjadi masalah kepada suami isteri, bayangkan pula bagaimana keadaannya jika suami mempunyai dua isteri.

Bagi penyanyi popular, Siti Adira Suhaimi, 25, yang berkahwin dengan ahli perniagaan hartanah, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red pada 3 Disember 2015 perkara itu langsung tidak menjadi masalah baginya.

Adira yang menjadi isteri kedua berkata, dia meletakkan keputusan itu sepenuhnya kepada suami.

Katanya, dalam hal membabitkan dirinya, suami dan isteri pertama mengamalkan sikap bertimbang rasa sejak bernikah.

“Sebagai isteri, saya lebih senang meletakkan keputusan itu kepada suami. Ia lebih baik daripada kita mahu bergaduh hingga mengganggu-gugat keharmonian rumah tangga juga hubungan kekeluargaan dengan isteri pertama.

“Bukankah suami itu ketua keluarga, jadi saya percaya apa juga keputusan diambil adalah yang terbaik untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Hasil pernikahan dengan Datuk Red, pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan, Anggerik, Mac lalu. Isteri pertama Datuk Red dikenali sebagai Sharifah atau Datin Red mempunyai tiga anak.

Kata Adira, tahun ini dia mengambil keputusan untuk beraya di kampung halamannya di Ranau, Sabah bersama Anggerik.

“Kalau suami tidak bersama saya pun ia tidak perlu dijadikan isu. Buat apa hendak gaduh-gaduh, bukankah kita beraya sebulan. Banyak lagi masa untuk suami dan saya beraya bersama,” katanya.

Sudah tentu tahun ini persiapan dibuat Adira untuk menyambut Aidilfitri lebih meriah dengan kehadiran Anggerik.

“Hendak kata meriah sangat tidak juga kerana biasanya saya menyambut hari raya secara bersederhana. Hendak membeli sakan baju raya untuk Anggerik pun takut nanti hanya pakai sekali.

“Budak-budak tengah hendak membesar, nanti kalau beli baju berpasang-pasang pakainya hanya sekejap. Tambah pula harga baju budak-budak sama harganya dengan orang dewasa,” katanya.

Mengenai kerjaya nyanyian, sebaik mengandungkan Anggerik, Adira yang popular dengan lagu Dewi Cinta dilihat memperlahankan rentak aktiviti seninya.

Katanya, dia masih bernaung di bawah Astro dan sewaktu mengandung dan selepas melahirkan anak dia memperlahankan aktiviti nyanyiannya.

“Saya memperlahankan kerjaya seni kerana harus memberi tumpuan kepada Anggerik. Dalam waktu sama, saya sibuk berpantang dan cuba mendapatkan bentuk badan seperti dulu. Jadi ia mengambil sedikit masa.

“Apabila berat badan sedikit susut, baru saya berani keluar dan berhadapan dengan umum. Jadi peminat tidaklah terkejut melihat penampilan saya,” katanya.

Walaupun kini menjadi isteri dan ibu, Adira menegaskan dia tidak akan meminggirkan kerjaya seni. Baginya menguruskan anak dan rumah tangga juga kerjaya nyanyian bukan masalah buatnya.

“Saya memang suka bekerja dan untuk itu saya memastikan apabila keluar dengan single baru nanti saya benar-benar bersedia. Mengikut jadual, selepas hari raya nanti saya akan kembali masuk studio dan merakamkan lagu baru,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 3:52am
d