rap

Janna anggap seperti adik beradik

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

TINDAKAN penerbit Sheila Rusly memaparkan gambar dua anak lelakinya, Uzair Haqimy dan Luth Mikhail bersama Janna Nick berserta keterangan ‘MyNyawa’ di laman Instagram mengundang persepsi masyarakat yang menganggap Janna bakal dijodohkan dengan salah-seorang anaknya.

Janna, 22, ketika ditemui menafikan perkara ini dan berkata, hubungannya dengan keluarga Sheila ibarat sebuah keluarga.

"Memang tidak terlintas langsung soal ini di fikiran saya. Semua orang tahu kak Sheila tiada anak perempuan dan mempunyai dua anak lelaki.

"Jadi, dia melayan saya seperti anak perempuan yang lebih dekat dengannya," katanya.

Bagi Janna, apabila anak-anak Sheila meningkat dewasa, mereka buat hal sendiri dan sebagai ibu, Sheila memerlukan seorang anak perempuan yang boleh dijadikan kawan yang boleh dibawa bercerita dan berkongsi apa saja.

"Saya memahaminya dan dia faham dengan saya. Apapun saya ambil itu sebagai satu perkara yang baik untuk mengeratkan silatulrahim antara kami.

"Ia satu anugerah buat saya di mana mereka sayangkan saya yang bukan darah daging mereka seperti saudara sendiri," katanya.

Janna turut menolak dakwaan dirinya serasi jika dijodohkan dengan anak sulung Sheila kerana Haqimy lebih muda daripadanya dan baru berusia 21 tahun.

"Saya sudah anggap mereka seperti adik sendiri dan tiada apa-apa perasaan, tetapi andai dikatakan takdir dan ketentuan jodoh saya tidak boleh elak.

"Mana tahu suatu hari akan berlaku begitu, tapi buat masa sekarang inilah yang boleh saya katakan," katanya.

Dalam pada itu, Janna mengakui dia ikhlas akrab dengan keluarga Sheila dan bukan kerana kepentingan peribadi.

"Saya baik dengan kak Sheila bukan atas dasar menagih tawaran berlakon. Pembabitan saya dengan JS Pictures pun tidaklah banyak.

"Bahkan jadual berlakon saya dengan produksi lain sangat padat. Keakraban kami hanyalah seperti saudara serta ibu dan anak," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 6:32pm
d