rap

Ren tak hirau cercaan

Oleh Nor Akmar Samudin

Daripada jurusolek artis, sekarang mahu menjadi penyanyi pula. Disebabkan impiannya itu, Ren Ryzam turut dicemuh.

Namun, dalam mengejar segala impian dan cita-citanya, Ren tidak pernah tunduk kepada tekanan dan cercaan.

Baru saja muncul de­ngan single pertama berjudul Harusnya Kau Tahu, Ren melancarkan pula single kedua berjudul Keras Hati yang dirakamkan di Jakarta, Indonesia.

Lagu berkenaan dicipta Haffiz Aziz dan Ren yang turut menulis sendiri liriknya.

Keras Hati sudah tiga minggu dimuat naik di YouTube dan sambutan terhadap lagu itu masih perlahan.

“Saya pun baru enam bulan bergelar penya­nyi dan faham sambutan peminat muzik terhadap orang baru macam saya. Bagaimanapun, kepada yang sudah mendengar lagu itu, mereka me­nyukainya.

“Saya juga dalam perbincangan dengan CQ Music Malaysia yang melamar supaya bernaung di bawah syarikat mereka bagi melancarkan perjalanan kerjaya nyanyian. Bagaimanapun, keputusannya selepas Aidilfitri ini,” katanya.

Menurut Ren, dia gembira kerana media dan rakan artis menerima baik kehadirannya dalam dunia hiburan tanah air cuma undangan persembahan masih kurang.

Bercakap mengenai Ramadan tahun ini, Ren yang sibuk menguruskan perniagaan butik di Bandar Saujana Putra mempromosikan baju Melayu, pakaian wanita dan minyak wangi turut memenuhi undangan berbuka puasa bersama anak yatim.

“Ini tahun pertama saya meraikan Ramadan dan Syawal sebagai artis tetapi tiada banyak berbeza cuma jadual bertambah sedikit kerana banyak terima jemputan berbuka puasa. Ia juga pendedahan yang baik untuk memperkenalkan saya kepada khalayak ramai,” katanya yang akan menyambut Syawal di Negeri Sembilan dan Kelantan.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 3:25am
d