rap

Que Haidar terdiam dipanggil Ayah Su

Oleh Nor Akmar Samudin

DISEBABKAN iklan Pelaburan Mara 2017 sempena Aidilfitri tular baru-baru ini, ramai memanggil pelakon Que Haidar sebagai Ayah Su iaitu wataknya dalam iklan itu.

Iklan arahan Izuan Mokhtar itu turut menampilkan pelakon berkaliber seperti Datuk Rahim Razali, Ogy Ahmad Daud, Faizal Hussein, Umie Aida, Harun Hashim, Wan Hanafisu, Fadzilah Mansor dan Azizah Mahzan.

Ia mengisahkan Ayah Su yang menjaga empat anak saudaranya selepas ibu bapa dan tiga adik-beradik mereka terbunuh dalam kemalangan ketika mahu pulang berhari raya di kampung.

Que berkata, orang pertama yang memanggilnya Ayah Su ialah pekerja tol, baru-baru ini.

“Ketika itu saya mahu menambah nilai kad ‘touch & go’ dan saya beritahu pekerja itu tak perlulah beri saya resit. Dia jawab, “ok, Ayah Su’.

“Saya diam saja kerana saya fikir mungkin dia ingat saya adalah adik saya tetapi rupa kami tidak mirip kerana dia gelap sedikit daripada saya.

“Dia adalah adik bongsu saya dan kami memanggilnya Ayah Su, tetapi tak mungkin pekerja tol itu kenal adik saya,” katanya.

Que berkata, selepas agak lama memandu baru dia teringatkan iklan lakonannya dan ia sudah mula tular.

“Apabila membelek laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter, saya dapati ramai yang memuji iklan itu dan mereka memanggil saya Ayah Su,” katanya.

Iklan berkenaan menjadi sebutan berikutan lakonan mantap barisan pelakonnya termasuk pelakon kanak-kanak selain jalan cerita yang cukup menyedihkan.

Selepas dua hari dimuat naik di YouTube, ia mencatat jumlah tontonan lebih 50,000 dan netizen menyifatkan ia sebagai iklan yang mampu mengalirkan air mata sesiapa saja.

Que berkata, dalam iklan itu dia perlu bertutur dalam dialek Kelantan dan banyak belajar daripada pembantunya yang berasal dari negeri itu.

Menurut Que, ramai pengikutnya di Instagram dan Twitter mahu iklan itu dijadikan telefilem atau filem.

“Saya sudahpun ‘tagkan’ cadangan peminat itu kepada Izuan dan saya sendiri suka jika ia dijadikan drama panjang,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2017 @ 7:38pm
d