rap

Risiko filem bertema Aidilfitri

Tanpa disedari, industri seni kita ketandusan filem bertemakan perayaan khususnya Aidilfitri.

Senario ini berbeza dibandingkan dengan Hollywood apabila sering tampil dengan filem bertemakan Krismas setiap tahun.

Industri filem Hong Kong juga sering menghadiahkan filem bertema Tahun Baru Cina bagi menyemarakkan suasana perayaan itu.

Di Malaysia, kalau ada pun filem begini, jumlahnya sangat kurang contohnya, Profesor Datuk A Razak Mohaideen pernah hasilkan filem I Know What You Did Last Raya terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd pada 2004.

Ia adalah parodi kepada filem I Know What You Did Last Summer. Beliau kemudian sekali lagi menghasilkan filem Raya Tak Jadi terbitan Grand Brilliance dan Lineclear Motion Pictures.

BLING! minggu ini mendapatkan komen beberapa produser terkenal termasuk Razak sendiri.

DATUK NORMAN ABDUL HALIM

(KRU STUDIOS SDN BHD)

“Filem genre ini jarang dihasilkan kerana ‘trend’ sekarang, penonton kurang menonton wayang ketika musim cuti raya.

“Ini sekali gus banyak mendorong produser menghasilkan filem genre lain. Kita dapat lihat yang ada pun hanya filem genre komersial dan komedi.

“Sebagai penerbit, kami boleh menjual filem kepada stesen TV dan ia bergantung kepada genre filem itu sendiri.

“Jadi, produser tentu akan buat filem yang boleh ditayangkan di kaca TV sepanjang tahun dan bukan ketika hari raya sahaja.

“Bagaimanapun, ‘trend’ dah berubah. Produser sekarang sudah tak kejar musim perayaan untuk tayangkan filem.

“Aidilfitri bukan lagi waktu yang terbaik untuk tayangkan filem. Syarat Wajib Tayang pula menetapkan setiap filem perlu ditayangkan bermula Khamis.

“Tapi tahun ini contohnya Aidilfitri dijangka disambut pada Ahad (esok) dan bermakna filem kita hanya boleh ditayangkan bermula Khamis berikutnya. Ini bermakna mereka akan kerugian tiga hari.”

DATUK YUSOF HASLAM

(SKOP PRODUCTIONS SDN BHD)

“Ketika filem zaman Cathay Keris dahulu, filem begini ada dihasilkan manakala Shaw Brothers kurang menerbitkannya.

“Hari ini kita ada Profesor Datuk A Razak Mohaideen yang arah filem sebegini dan sambutannya agak menggalakkan.

“Sebenarnya perkara ini bergantung kepada kehendak produser juga. Kadangkala mereka buat filem genre begini untuk tayangan raya tapi gagal dapat slot kerana tak sempat disiapkan.

“Biasanya penghasilan sesebuah filem boleh siap sekitar empat bulan tapi adakalanya tertangguh kerana pelbagai masalah. Contohnya filem anak saya sendiri yang ambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

“Disiplin sangat penting dalam setiap pekerjaan. Untuk buat cerita berkaitan Aidilfitri bukanlah susah cuma ditakuti tayangannya tak kena masa.

“Perlu diingat kita ada Syarat Wajib Tayang oleh FINAS dan sistem ini perlu ikut giliran dan bukannya boleh ditempah. Siapa yang cepat siapkan filem, dia akan dapat slot yang ditetapkan.”

PROFESOR DATUK A RAZAK MOHAIDEEN

(LINECLEAR MOTION PICTURES)

“Filem tema raya ini jarang dihasilkan oleh produser kerana tiada jaminan filem ini ditayangkan pada hari raya.

“Pengalaman saya menyaksikan filem I Know What You Did Last Raya dapat ditayangkan pada hari raya, tapi filem Raya Tak Jadi tak dapat slot pada permulaan raya.

“Alasannya filem ini lambat untuk dapat Syarat Wajib Tayang. Hasilnya ia hanya ditayangkan dua minggu selepas Aidilfitri.

“Pada saya memang ramai penerbit ingin hasilkan filem bercorak begini tapi tak berani tanpa ada jaminan tertentu.

“Pada saya undang-undang ini perlu diubah. FINAS perlu memberi jaminan filem begini boleh ditayangkan ikut masanya.

“Sekiranya ia berlaku, akan ramai produser yang berani menghasilkan filem begini. Kutipan I Know What You Did Last Raya sekitar RM3.2 juta di 42 pawagam.

“Raya Tak Jadi pula kutip RM3.8 juta. Saya sendiri tak akan buat filem begini sekiranya tiada jaminan adanya slot khas musim perayaan.

“Juga perlu dipastikan tiada filem Hollywood yang mega ditayangkan pada hari raya. Sekiranya ia berlaku, pasti filem Melayu akan dipinggirkan dan hanya diberi dewan tayangan yang kecil.”

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 3:30am
d