rap

Balun ditayang 17 Ogos

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Siapa tidak kenal dua pelakon ini, Datuk Eizlan Yusof dan Beto Kusyairy yang mempunyai aura tersendiri saat digabungkan untuk fotografi bersama Selebriti Metro Ahad, minggu lalu.

Lebih menyerlah kerana gandingan itu berhubung kait dengan filem yang menggabungkan mereka berdua, Balun yang bakal ditayangkan pada 17 Ogos depan.

Filem Balun arahan Bob Singah terperuk selama lima tahun selepas siap menjalani penggambaran dan suntingan pada 2012.

Punca tertangguh kerana penerbit asal, Mohammad Zulkifli Mustafa meninggal dunia kemudian bapa pengarah filem itu, Datuk Aziz Singah yang juga pelakon veteran meninggal dunia tahun lalu.

Beto atau Nurkusyairy Zakuan Osman, 37, bersyukur kerana akhirnya filem itu dapat ditayangkan juga kepada umum.

Katanya, dia hampir lupa pasal filem Balun yang juga antara lakonan terawalnya. Apa yang menarik mengenai filem ini ialah ia tidak menggunakan pelakon ganti untuk adegan aksi dan dia perlu melakukannya sendiri.

“Saya memang mahu buat semua itu sendiri. Lagi pun waktu itu usia masih muda, semua benda nak buat sendiri,” katanya.

Walaupun wataknya sebagai Hassan tidaklah terlalu berat sehingga memerlukannya bermain dengan emosi, ia tetap memiliki kelainan tersendiri terutama di segi aksi silat yang ditonjolkan.

Mula berlakon dalam drama arahan Erma Fatima, Beto serius meneruskan kerjaya lakonan. Dari drama melangkah ke filem melalui Syaitan arahan Bade Azmi kemudian dipilih Kabir Bhatia berlakon dalam Kekasihku Seru dan Juvana.

Sejak itu Beto dikenali antara pelakon lelaki yang ada karisma. Malah ramai pelakon baru mengangkat namanya sebagai idola. Antaranya Redza Rosli dan Gambit Saifullah.

Kata Beto, dia takut diangkat sebegitu kerana dianggap terlalu tinggi dan tidak sesuai diletakkan padanya yang dianggap masih banyak benda yang belum dipelajari.

“Saya rasa ramai lagi yang lebih layak. Saya jadi malu sebab ramai pelakon senior yang lebih hebat. Saya hanya penyampai kisah dan teladan.

“Memang dari dulu saya memilih skrip dan dengan siapa saya bekerja. Saya berlakon sebab minat dan glamor bukan keutamaan,” katanya serius.

Selain filem Balun, Beto juga menanti penuh debar filem Bisik Pada Langit yang turut dijangka ditayangkan sebelum penghujung tahun ini.

Eizlan turut berkongsi hal sama pasal Balun terutama melakonkan sendiri aksi bertarung sehingga menyebabkan dia mengalami lebam di kaki dan tangan ketika babak berlawan dengan Beto.

Katanya, ketika babak bertarung dengan Beto mereka berdua mengalami bengkak di kaki dan tangan kerana koreografer yang mengajar silat tidak suka mereka sekadar acah-acah pukul sebab mahu menampakkan realisme.

“Sebab itulah kekuatan filem ini pada aksi. Malah beberapa pihak yang menonton secara tertutup memuji bunga silat yang diketengahkan,” katanya.

Namun pelakon kacak itu terkilan kerana Balun mengalami nasib serupa dengan filem lakonannya sebelum ini, Pak Pong yang terperap lama kerana pelbagai masalah dihadapi produksi.

Katanya, sebagai orang yang terbabit secara langsung dengan filem itu, dia memang sedih. Filem diibaratkan seperti pisang goreng yang perlu dijual ketika ia masih panas.

“Andai disimpan lama kerana isu kewangan, teknikal dan peribadi, ia sikit sebanyak membuatkan pelakon dan kru sedikit terkilan.

“Filem adalah perkara besar dan banyak pihak mengharapkan filem yang siap dapat keluar dengan selesa. Tapi mahu atau tidak, kena reda dan terima ketentuan Tuhan yang sesetengah produser ada masalah tersendiri.

“Andai sambutan tidak menggalakkan, ia mungkin sebab cita rasa dan sudah terkeluar daripada kehendak semasa. Apabila tersimpan lama, ia memberi tanggapan negatif kepada peminat filem Melayu tempatan,” katanya yang berharap Balun tidak senasib filem Pak Pong.

Eizlan sempat menitipkan harapan agar pada masa depan, rumah produksi yang mahu terbabit dalam filem perlu pastikan mempunyai bajet sesuai dan pelan sokongan supaya isu filem terperap lama tidak terjadi lagi.

Selepas Balun, Eizlan yang masih dalam proses penggambaran drama bersiri Dendam Aurora akan muncul dalam filem genre romantik Pencuri Hati Mr Cinderela arahan Ahmad Idham tidak lama lagi.

Eizlan beraya tanpa anak-anak

Resam Beto dan isteri, Tisha Shahar akan bercuti ke luar atau dalam negara bermula pada hari kedua Syawal. Selalunya perancangan dilakukan pada saat-saat akhir.

Tapi untuk tahun ini, perancangan itu mungkin terpaksa ditunda kerana akan terbabit dengan penggambaran musim kedua drama 13 episod terbitan syarikat produksi Singapura, Kisah Tok Kadi.

Kata Beto, dia akan ke Singapura seminggu selepas raya. Disebabkan tawaran itu dia belum pasti lagi sama ada akan bercuti atau tidak dengan isteri pada minggu ini.

Eizlan pula dalam nada sedih akui tidak dapat menyambut hari raya bersama anak-anak kerana mereka mengikut ibu mereka menyambut hari raya di Kelantan.

Katanya, walaupun sedih tidak dapat berhari raya dengan anak-anak, dia tetap menjalankan tanggung jawab menyediakan kelengkapan hari raya untuk mereka.

“Kemungkinan selepas raya baru dapat berhari raya dengan anak-anak. Tapi tidak pastilah kalau tiba-tiba ada pertukaran di saat-saat akhir.

“Jika tidak, saya dan ibu akan sambut hari raya berdua. Kemudian pada hari raya ketiga akan pulang ke kampung ibu saya di Rembau (Negeri Sembilan),” katanya.

Biarpun sedih tidak dapat berhari raya dengan anak-anak, dia tidak menjadikan hal itu isu besar untuk bermasam muka dengan bekas isteri.

Dia akui bekas isterinya ‘sporting’ dan mudah bertolak ansur. Buktinya, Eizlan dapat luangkan masa menyambut Ramadan bersama anak-anaknya.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 4:36am
d